Eduardo Berizzo percaya Copa America 2019 harus eksklusif kepada negara-negara dari benua Amerika sahaja selepas pasukan undangan, Qatar, mengikat Paraguay 2-2, pagi tadi.

Juara Piala Asia 2019 itu -- diundang untuk menyertai kejohanan di samping Jepun -- melakar kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat skuad kendalian Berizzo itu dalam aksi pembukaan mereka.

Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mempunyai tradisi menjemput negara-negara luar untuk bertanding, dengan wakil Asia, Australia, bakal mengambil bahagian dalam edisi 2020 di Colombia dan Argentina.

Bercakap selepas aksi Kumpulan B di Rio de Janeiro itu, Berizzo memberitahu wartawan: "Saya rasa adalah masuk akal apabila Copa America hanya membabitkan seluruh pasukan di benua Amerika.

"Adakah anda bertanya kepada saya mengenai negara-negara yang diundang seperti Qatar dan Jepun?

"Kami patut membayangkan seluruh Copa America, termasuk Amerika Tengah dan Amerika Utara untuk mengambil bahagian dalam kejohanan yang sama.

"Saya tidak pernah melihat Eropah menjemput mana-mana pasukan dari Amerika Selatan untuk bertanding.

"Jangan salah anggap, kenyataan ini mungkin agak keras berikutan kami baru sahaja diikat Qatar. Bagaimanapun, saya percaya Copa America perlu disertai semua pasukan di Amerika, termasuk CONCACAF dan CONMEBOL."

Paraguay dilihat berada di landasan kemenangan menerusi penalti Oscar Cardozo pada minit keempat sebelum Derlis Gonzalez menambah derita lawan dengan gol kedua yang sukar dikekang.

Qatar, bagaimanapun, bangkit dalam babak kedua melalui Almoez Ali dan gol sendiri Juan Rodrigo Rojas yang berusaha mengeluarkan percubaan awal Boualem Khoukhi.

"Keputusan ini mengecewakan kami. Kami mahu menang, daripada peminat sehinggalah jurulatih," kata Berizzo.

"Kami perlu memikirkan tentang pesaing, realiti sendiri selain banyak perkara yang boleh menjelaskan situasi ini.

"Ini adalah kitaran baru untuk kami, bukannya saya tidak tahu bahawa Copa America akan berlangsung hari ini.

"Jadi, saya tidak boleh mencipta alasan sekiranya kami gagal mempamerkan aksi yang baik. Apabila kami beraksi dengan baik, saya akan memberitahu bahawa kami telah melaksanakannya.

"Hari ini, kami berdepan kesulitan merebut bola, terutama di kawasan tengah padang dan ketika mendahului 2-0.

"Jika kami memperagakannya, kami sepatutnya meraih keputusan yang berbeza," katanya lagi.