Pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools, tidak pernah melupakan hasrat untuk bermain dalam Liga Malaysia mahupun skuad kebangsaan suatu hari nanti.

Pada usia yang mencecah 23 tahun, pemain yang pernah mewakili skuad B-21 Belgium itu mendedahkan bahawa dia masih belum mendapat sebarang lamaran daripada sebarang pasukan dari Malaysia setakat ini.

Dalam satu perbualan video bersama penyampai Nadi Arena, Edleen Ismail, Cools berkata: "Sudah pasti saya berminat untuk ke Malaysia. Sehingga hari ini, saya masih belum mendapat tawaran rasmi, jadi saya tidak dapat membuat keputusan.

"Tetapi sudah pasti saya akan menimbangkan peluang untuk mewakili Malaysia kerana sebahagian daripada diri saya adalah Malaysia dan sebahagian lagi adalah Belgium. Saya adalah gabungan kedua-duanya dan amat berbangga dengannya.

"Jadi, ia sesuatu yang amat baik untuk mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan pesanan dan mengajak saya untuk bermain bersama skuad kebangsaan Malaysia.

"Tetapi selagi saya tidak mendapat tawaran, saya tidak perlu memikirkannya dan ia tidak mendatangkan tekanan buat saya," katanya.

Cools pernah dikaitkan untuk menyertai pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan pertahanan kanan FC Midtjylland kelahiran Sarawak itu mendedahkan bahawa dia mempunyai hubungan yang baik dengan skuad Harimau Selatan berkenaan.

"Sebenarnya, ia bukan seperti sesuatu yang sudah dilengkapkan, saya ada berhubung dengan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim).

"Ia lebih kepada perbualan mesra dan amat baik untuk dapat berjumpa dan berbual dengan Tunku Mahkota. Ia perbualan yang baik.

"Beliau juga menujukkan saya mengenai apa yang telah dilakukannya untuk JDT dan ia amat luar biasa.

"Rakaman yang saya tonton amat hebat dan sudah pasti ia akan lebih menarik jika dapat disaksikan secara langsung.

"Mungkin saya akan melakukan lawatan. Itu perancangan saya kerana ia pasti amat menarik.

"Tetapi tidak ada perbincangan yang benar-benar mengenai aspek bola sepak.

"Ia hanya perbualan mesra dan juga mengenai keadaan bola sepak di Eropah," katanya.