ROMA 2 INTER 2

Antonio Conte mempertahankan tindakan penggantian pemainnya di hujung perlawanan yang menyaksikan Inter terikat 2-2 di Roma, malam tadi.


Nerazzurri hampir memperoleh tiga mata berharga dalam pertemuan dua pencabar utama Serie A itu di Stadio Olimpico, namun Gianluca Mancini memusnahkan harapan mereka menerusi gol penyamaan pada minit ke-86 minit.

Lorenzo Pellegrini meletakkan Roma di depan dalam separuh masa pertama tetapi dua gol dalam masa tujuh minit selepas rehat menerusi Milan Skriniar dan Achraf Hakimi membolehkan Inter diambang kemenangan.

Begitpun, jaringan Mancini itu diledak sejurus Conte mengeluarkan Hakimi, Lautaro Martínez dan Arturo Vidal dan bekas pengurus Itali tersebut menjelaskan sebab dia membuat pertukaran berkenaan dan terpaksa berputih mata untuk menguasai tangga ketiga -- tiga mata di belakang pendahulu Milan.

Dia berkata: "Vidal minta digantikan akibat kecederaan, Lautaro pula mengerah kudrat sepanjang 75 minit kerana saya mengarahkannya supaya banyak bergerak di sebelah Vidal ketika kami tidak menguasai bola.

"Hakimi juga banyak berlari dan kehilangan bola dalam situasi getir. Ini adalah perlawanan ketiga kami dalam tujuh hari. Inter perlu mempunyai skuad yang utuh untuk bercita-cita meraih sesuatu yang penting.

"Saya tidak faham mengapa (saya dipersoalkan kerana) pemain simpanan. Saya rasa pada akhirnya, kegelisahan untuk menghasilkan keputusan penting juga memainkan peranan. Ia membuatkan semangat anda merosot.

"Tetapi dari bangku simpanan, saya mengarahkan pemain supaya memberikan tekanan tinggi memandangkan berkampung di kubu sendiri bukanlah tindakan yang bagus."




Conte gembira dengan kemahuan anak buahnnya menebus kekalahan kepada Sampdoria pertengahan minggu lalu.

Ditanya mengenai prestasi Inter dalam separuh masa kedua, dia berkata: "Saya rasa kami beraksi dengan baik termasuk dalam babak kedua. Jangan lupa bahawa Roma berjuang untuk tujuan yang sama seperti kami sambil mengekori kami dengan tiga mata.

"Berdepan pasukan di tangga ketiga liga dan beraksi seperti ini bermakna kami sebuah pasukan yang teratur dan mantap.

"Kami berpeluang untuk mematikan permainan ini namun gagal menterjemahkannya dan membiarkan kebangkitan kerana kami kehausan tenaga. Malangnya kerana dengan dua baki minit lagi, kami hampir mengalahkan sebuah pasukan yang ampuh."

Matteo Darmian terpaksa digantikan oleh Ashley Young seawal babak pertama dan Inter mendedahkan pertahanan itu mengalami penderitaan teruk di tulang pinggul kirinya.