Pengurus Inter, Antonio Conte, mendedahkan dia pernah menolak peluang untuk mengemudi Real Madrid.

Pengurus berbangsa Itali berumur 51 tahun itu membuat pengakuan tersebut dalam sidang media menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) di antara dua kelab berkenaan, awal pagi esok.

Zinedine Zidane dalam musim keduanya menerajui Madrid sejak dilantik semula pada Mac 2019 susulan pemecatan Julen Lopetegui dan pengurus sementara, Santiago Solari.

"Sudah tentu, ada beberapa kesempatan untuk saya melatih Real Madrid pada masa lalu," katanya.

"Ketika itu musim sudah bermula jadi adalah sukar untuk mengambil alih sementara kelab sudah mengatur jadual mereka, jadi saya lebih suka menolak lamaran itu.

"Ya, memang benar ada peluang untuk saya bertindak sebagai pengurus Real Madrid, tapi ketika itu mungkin bukan masa yang tepat."

Ketika ditanya apakah dia membayangkan dirinya sebagai pembimbing Madrid pada masa depan, bekas bos Juventus, Itali dan Chelsea, itu menegaskan dia gembira di Inter buat masa ini.

Dia menambah: "Saya mahu meneruskan projek di Inter. Sekarang, saya sangat fokus kepada Inter.

"Saya memulakan projek di sini dengan sokongan yang sangat kuat, oleh itu saya berasa gembira. Kami sedang membina sesuatu yang mustahak."




Conte pernah beraksi di samping Zidane ketika di Juventus, tetapi ketika itu tidak perasan pasti sama ada bekas juara Piala Dunia bersama Perancis tersebut cenderung untuk menjadi pengurus.

"Sejujurnya, sukar untuk dijawab. Sebagai pemain bola, saya sering memikirkan masa depan sebagai pengurus, saya tidak tahu sama ada Zizou melakukan hal yang sama," jelas pengurus Inter itu.

Begitupun, khidmat Romelu Lukaku tidak dapat dipertaruhkan akibat kecederaan paha.

Penyerang dari Belgium itu ditimpa masalah berkenaan ketika Inter seri tanpa gol dengan Shakhtar Donetsk, minggu lalu, dan terikat 2-2 ketika menentang Parma dalam aksi Serie A hujung minggu lalu.

Alexis Sanchez pula akan turut serta ketika bertandang ke Stadium Alfredo Di Stefano dan masalah pahanya akan terus dipantau.

Nerazzurri berada di tangga ketiga Kumpulan B selepas seri dengan Borussia Monchengladbach dan Shakhtar dalam dua perlawanan pembukaan, tetapi Conte menolak mengintai kekalahan Madrid.

"Ini bukan perlawanan final. Lebih senang untuk melabelnya sebagai perlawanan penyingkiran peringkat kumpulan yang sangat penting," tambahnya.

"Kedua-dua pasukan ingin maju. Kami akan menghadapi pasukan yang sempurna dan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar."