Antonio Conte kecewa dengan ketumpulan penyudah Inter Milan selepas tewas 1-2 kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi menegaskan dia "tiada rungutan' selepas pasukannya disingkirkan daripada kejohanan itu.

Inter sekurang-kurangnya perlu menyamai keputusan Borussia Dortmund ke atas Slavia Prague, namun kelab Jerman itu menang 2-1 dan Nerrazurri gagal memperoleh keputusan yang sama di San Siro awal pagi tadi.

Walaupun lebih dominan dan berpeluang pada awal permainan, Inter ketinggalan pada minit ke-23 apabila Carles Perez tenang menjaringkan gol pembukaan buat pasukan tuan rumah itu.

Romelu Lukaku menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama tetapi jaringannya menjadi sia-sia apabila Ansu Fati, 17, memastikan tiga mata buat Barca untuk menjadi penjaring termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Conte, bagaimanapun, menyedari pasukannya memperoleh banyak peluang untuk menewaskan Barca.

"Kami berpeluang untuk memenangi perlawanan, kami mencipta ruang tetapi kurang tajam untuk menyudahkannya.

"Saya tiada rungutan memandangkan pemain saya telah memberikan segala-galanya.

"Melihat Ansu Fati menjaringkan gol, itu amat menyakitkan.

"Ia membunuh kamu dengan setiap cara.

"Kami berusaha, mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan ia tamat dengan 2-1.

"Saya turut kecewa bagi pihak penyokong di San Siro kerana mereka telah mendorong kami sejak mula dan mencipta suasana luar biasa.

"Ia sepatutnya ditamatkan dengan cara berbeza.

"Saya fikir kami layak mendapat sesuatu yang lebih daripada kumpulan ini.

"Apapun, saya fikir ia tetap pengalaman yang amat berharga.

"Kami mahu layak, jadi terdapat kekecewaan daripada semua orang buat masa ini.

"Tetapi seperti yang saya katakan kepada mereka, kami perlu berbangga," katanya.

Inter menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dan akan ke Liga Europa.

Mereka akan mengetahui lawan seterusnya dalam majlis undian Isnin ini.