Conte tegur ejekan terhadap barisan pemain 

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 77
Conte tegur ejekan terhadap barisan pemain 
INTER 0 ROMA 0
 
Antonio Conte menyeru peminat Inter agar kembali menyorak pasukannya dan kecewa mendengar ejekan mereka ketika seri 0-0 dalam pertembungan Serie A awal pagi tadi.

 
Inter merampas kedudukan puncak liga susulan kemenangan 2-1 ke atas SPAL minggu lalu sambil juara bertahan, Juventus, seri 2-2 dengan Sassuolo.
 
Tempoh mereka meneraju liga, bagaimanapun, dijangka tidak lama selepas gandingan berbisa Inter, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez, mengalami masalah yang luar biasa di depan gawang dalam aksi di San Siro itu awal pagi tadi. 
 
Juve boleh kembali ke posisi biasa mereka sekiranya menundukkan Lazio awal pagi esok dan pengurus Inter, Conte, mahu mengingatkan peminat setia bahawa pasukannya sedang melangkaui jangkaan mereka atas sebab yang munasabah.
 
"Peminat harus menyokong kami dan membantu kami seperti yang mereka lakukan kerana ini adalah tempoh getir untuk kami meraih sokongan mereka," katanya kepada Sky Italia.
 
"Saya minta maaf atas beberapa siulan berikutan beberapa kesilapan hantaran yang dilakukan. Ia langkah yang tidak bagus, kami memerlukan semua orang.
 
"Mereka harus menyokong kami dan mereka tidak boleh mengejek atas kesilapan pertama.
 
"Bukan mudah untuk beraksi di San Siro, ramai pemain-pemain muda dalam skuad ini, semua orang memerlukan bantuan.
 
"Saya mahu membangkitkan perkara ini kerana saya sentiasa mahu melindungi pasukan. Kami tidak boleh memandai-mandai, pemain muda perlu sentiasa diberikan sokongan."
 
Berbanding mengkritik barisan penggempurnya, Conte memilih untuk memuji penjaga gawang Roma, Antonio Mirante.
 
"Ya (Lukaku dan Martinez membuat kesilapan), namun kita juga harus mempertimbangkan penampilan hebat Mirante, yang merupakan permain terbaik di atas padang," katanya.
 
"Apabila kami menang, seri dan kalah, kami akan melakukannya bersama-sama. Pemain tengah juga berpeluang untuk menjaringkan gol, bukan setakat penyerang.
 
"Dalam babak kedua, terdapat peluang baik buat Matias Vecino yang disekat Mirante untuk sepakan sudut."
 
Conte menambah: "Kami menampilkan permainan yang baik dan kami gembira dengan apa yang kami hasilkan. Malangnya kami tidak dapat menyudahkannya, kami harus lebih tajam lagi."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen