Inter perlu menyamai kesempurnaan sekiranya berhajat mengatasi Juventus dalam pertemuan separuh akhir Coppa Italia awal pagi esok, kata Antonio Conte.

Juve memenangi pertemuan pertama 2-1 di San Siro minggu lalu berbekalkan dua jaringan Cristiano Ronaldo selepas tuan rumah di depan menerusi ledakan Lautaro Martinez.

Inter meraih kemenangan 2-0 di Fiorentina, hujung minggu lalu, dan perlu mempertahankan kelebihan itu di Stadium Allianz jika mahu mara ke final Coppa buat julung kalinya dalam tempoh 10 tahun.

Namun, Nerazzurri belum pernah melakar sebarang keputusan positif di Juve sejak kemenangan 3-1 pada November 2012 sementara Bianconeri pula belum tewas di kandang sendiri dalam Coppa sejak -- disingkirkan Fiorentina 1-2 -- Mac 2015.

Inter menundukkan Juve 2-0 di San Siro dalam perhitungan Serie A bulan lalu, justeru Conte sedar barisan pemainnya memerlukan muslihat untuk berdepan bekas kelabnya itu.



"Kami harus turun beraksi dengan penuh keinginan dan tekad seperti yang kami pamerkan dalam dua perlawanan terdahulu," kata bekas pengurus Itali itu kepada Rai Sport.

"Kami harus lebih berani untuk meneruskan rentak seperti perlawanan terakhir dan berusaha mencapai kesempurnaan kerana untuk mengalahkan Juventus, anda perlu berusaha mencapai tahap kesempurnaan.

"Tanpa mengira kemenangan, siapa pun yang menyarung jersi ini mempunyai kewajiban untuk membuatkan peminat kami bangga, ia perlu diterapkan dalam misi kami.

"Cara terbaik untuk menyuntik keyakinan kepada barisan pemain bagi memenangi pertembungan ini dan berusaha melepasi pusingan ini adalah dengan kerja keras selain mempersiapkan perlawanan ini dengan cara yang tepat seperti yang pernah kami lakukan."