Antonio Conte berkata skuad Inter kendaliannya gembira untuk 'bermain kotor' dalam usaha untuk meraih gelaran Liga Europa (UEL) selepas mengatasi Getafe 2-0 dalam aksi pusingan 16.

Dalam satu aksi yang berlangsung di Jerman, jaringan daripada Romelu Lukaku dan Christian Eriksen memastikan tempat Inter dalam suku akhir, dengan Rangers atau Bayer Leverkusen menjadi halangan seterusnya.

Segalanya mampu menjadi keputusan yang berbeza buat Getafe, dengan penyerang veteran, Jorge Molina, terlepas sepakan penalti sebelum Eriksen melengkapkan kemenangan Inter dengan berbaki tujuh minit sebelum tamat permainan.

Prestasi Inter mendapatkan pujian daripada Conte, dengan bekas jurulatih Chelsea dan Juventus itu kagum dengan usaha pasukannya untuk bersaing secara fizikal dengan Getafe.

"Kami menyedari kesukaran yang bakal dihadapi daripada perlawanan ini," kata Conte kepada Sky Italia.

"Getafe bermula dengan baik. Mereka kerap mengejar mendapatkan bola kedua dan mempamerkan permainan bercorak fizikal. Mereka cemerlang pada permulaan tetapi kami berjaya memastikan perlawanan ini menjadi milik kami.



"Kami telah menjangkakan ia akan menjadi permainan yang kotor dan kami tidak takut untuk bermain kotor dengan mereka. Ia merupakan petanda baik, keazaman pasukan untuk berusaha mendapatkan bola, satu kekurangan yang ditampilkan pasukan musim ini.

"Melangkah ke Eropah adalah peluang untuk meraih pengalaman. Saya gembira dengan prestasi ini. Kami tidak boleh mendapatkan keputusan yang lebih baik. Kami memerlukan lebih banyak peluang."