Antonio Conte berminat untuk bekerjasama dengan Arturo Vidal di Chelsea tetapi enggan mengulas mengenai khabar angin bahawa kelab Liga Perdana Inggeris itu akan menandatangani pemain berkenaan bulan depan.

Vidal dan Conte memenangi tiga gelaran Serie A berturut-turut semasa mereka bersama di Juventus dan laporan media di Chile medakwa mungkin ada penyatuan semula pada tahun depan.

Pemain berusia 30 tahun itu masih mempunyai baki 18 bulan kontraknya di Bayern Munich dan kekal menjadi pemain utama di bawah Jupp Heynckes -- Vidal menjaringkan lima gol dalam 14 penampilan Bundesliga musim ini.

Perkara itu tidak menamatkan spekulasi yang mengaitkannya dengan Stamford Bridge dan walaupun Conte sendiri adalah peminat Vidal, dia enggan mengulas tentang perpindahan itu.

"Saya mesti jujur, tiada hak untuk bercakap mengenai pemain pasukan lain," katanya selepas kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

"Ia terutama jika cuba mengaitkan pemain itu dengan kami.

"Vidal adalah pemain hebat. Saya sangat menghargainya dan kami menghabiskan banyak masa bersama di Juventus.

"Saya sentiasa mahu dia bersama saya," katanya.