TORINO 0 INTER MILAN 3

Pengurus Inter Milan, Antonio Conte, berdoa untuk khabar gembira mengenai kecergasan Nicolo Barella selepas kecederaan lutut pemain tengah itu menjadi satu-satunya elemen negatif ketika menewaskan Torino 3-0 awal pagi tadi.


Barella, yang menjaringkan gol kemenangan dramatik ketika menentang Hellas Verona sebelum tempoh rehat antarabangsa, terpaksa dikeluarkan ketika rehat dan terus menemui pihak perubatan.

Inter mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan lutut kanan dan akan dikenal pasti dalam bebearap hari tatkala Conte berharap ia tidak serius.

Pengendali itu telah pun kehilangan khidmat beberapa pemain utama seperti Stefano Sensi, Roberto Gagliardini, Matteo Politano, Alexis Sanchez dan Kwadwo Asamoah.

Conte tidak mahu lagi kehilangan pemain dan menyuarakan kerisauan mengenai saiz pasukannya selepas kekalahan di tangan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal bulan ini

"Saya harap Barella tidak mengalami apa-apa kecederaan serius," katanya kepada DAZN selepas gol daripada Lautaro Martinez, Stefan de Vrij dan Romelu Lukaku menewaskan Torino dan meletakkan Inter kembali dibezakan satu mata dengan pendahulu, Juventus.

"Barella telah berkembang sepanjang empat bulan lalu. Dia pemain penting dan kami harap keputusan ujian tidak begitu teruk. Dia seorang pahlawan dan saya harap dia pantas kembali.

"Situasi terdesak terus berlaku tetapi kami hanya boleh ucapkan terima kasih buat pemain atas segala usaha yang ditunjukkan dan kami akan meneruskannya, memberikan aksi terbaik.

"Pemain mengorbankan diri mereka dan boleh dilihat usaha itu. Mereka menghabiskan masa beberapa jam di atas padang dan bilik video."

Sebelum ini, Conte mencuri tumpuan selepas memberi nasihat mengenai kehidupan seks menjelang perlawanan di Stadium Olimpico Grande Torino.

Tidak mahu mengulas tentang perkara itu, dia memilih untuk bercakap mengenai kejayaan Inter mengelakkan gawang daripada dibolosi.

"Saya gembira buat pemain yang meraih keputusan besar tetapi apa yang membuatkan saya sangat puas hati apabila tidak dibolosi," tambahnya.

"Ia satu persembahan pertahanan yang bagus. Penting kerana kami tahu jika barisan bawah ampuh, seluruh pasukan berada dalam keadaan baik tatkala jaringan akan dihasilkan cepat atau lambat."