INTER 1 SLAVIA PRAGUE 1

Antonio Conte mahu bertanggungjawab atas keputusan Inter diikat 1-1 oleh Slavia Prague berikutan permulaan lembab mereka dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) itu.


Tuan rumah memerlukan gol penyamaan dalam masa kecederaan menerusi Nicolo Barella untuk meraih satu mata, awal pagi tadi, yang menyaksikan Peter Olayinka terlebih dahulu memberikan gol pendahuluan kepada wakil dari Republik Czech itu.

Dengan Kumpulan F turut dihuni Barcelona dan Borussia Dortmund, keputusan berkenaan disifatkan sebagai kegagalan memanfaatkan peluang buat Inter, justeru Conte enggan beralasan.

"Slavia Prague pasti bermain dengan gaya yang sangat Eropah, agresif serta dengan berkeamatan," kata pengurus Inter itu kepada Sky Sport Italia.

"Kami tidak dapat mencari jalan penyelesaian yang baik atau menghampirinya. Selalunya kami akan menentang sebuah pasukan yang gemar berkubu di tempat sendiri, sebaliknya Slavia melancarkan serangan ke atas kami. Kami bergelut dan secara jujurnya, saya tidak berpuas hati dengan prestasi ini.

"Saya harus menjadi orang pertama yang perlu bertanggungjawab kerana saya gagal membawa kesan yang dihajati mengenai pilihan kesebelasan utama atau menjelaskan jenis permainan yang kami sepatut tampilkan.

"Kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi, ini bukanlah corak permainan yang kami amalkan dalam latihan. Kami harus terus perbaiki aspek karakter tetapi apabila saya bercakap tentang proses perkembangan, permainan seperti ini juga pasti akan diharungi kerana saya sedar mengenai situasi seperti ini. "

Rentak permainan anak buahnya juga menjadi kebimbangan Conte sambil mencadangkan masih banyak lagi ruang untuk ditingkatkan, namun memberi amaran kepada peminat agar tidak mengharapkan hasil segera.

"Slavia mengatasi kami daripada segi keamatan, keazaman dan kepantasan," kata bekas bos Chelsea itu.

"Kami tidak mempamerkan sebarang idea bola sepak kami. Anda seolah-olah menganggap sejurus kehadiran saya di sini, saya boleh mengubah anak itik menjadi angsa.

"Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan yang perlu kami perbaiki tetapi ini bukan gaya permainan kami. Apabila saya mengatakan bahawa kami tidak boleh mengendurkan semangat, saya benar-benar maksudkannya. Oleh itu, salahkan saya.

"Saya enggan bercakap tentang individu kerana kami semua beraksi di bawah kemampuan sebenar, bermula daripada saya. Saya adalah orang pertama yang perlu bertanggungjawab.

"Saya benci dengan aksi hantaran jauh sambil mengejar bola memandangkan itu bukan corak yang diamalkan kami tetapi itulah yang kami lakukan dalam sebahagian besar perlawanan ini. Ia bukan perancangan kami."