Conte ratapi kegagalan Itali ke Piala Dunia

Oleh Penulis Jemputan 18 November 2017 223
Conte ratapi kegagalan Itali ke Piala Dunia
Antonio Conte meratapi kegagalan Itali untuk layak ke Piala Dunia serta menyifatkan ia bukan berpunca daripada pengurus pasukan, Gian Piero Ventura.

Pengendali Chelsea itu menyaksikan pasukan kebangsaannya tewas 1-0 menerusi agregat kepada Sweden dalam aksi play-off dan The Azzurri gagal melayakkan diri ke Russia 2018.

Ia merupakan kali pertama  sejak 1958 Itali gagal beraksi dalam kejohanan terbesar itu, dengan Ventura menerima hukuman apabila dipecat minggu ini.

Bagi Conte, yang meninggalkan jawatan tersebut selepas Itali tewas kepada Jerman menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir Euro 2016, mendakwa ia bukan kesalahan daripada seorang individu.

"Perasaan saya sama seperti semua orang Itali," katanya. 

"Saya sangat sedih. Ini merencatkan bola sepak kami selepas 60 tahun dan kini kami terlepas beraksi dalam Piala Dunia. Ia merupakan kejohanan yang sangat penting buat Itali.

"Bola sepak adalah sukan yang paling terkenal di seluruh dunia tetapi kegagalan ini tidak berpunca hanya daripada seorang individu. Seluruh Itali harus bertanggungjawab di atas kegagalan ini. 

"Saya berasakan ini merupakan saat paling sukar untuk kami. Tetapi kami harus melihat ke hadapan, memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

Conte turut ditanya mengenai masa depannya tetapi menegaskan tumpuannya hanya terarah kepada saingan di England.

"Saya sedang berusaha untuk Chelsea dan cuba menghasilkan satu perkembangan kepada kelab ini.

"Buat masa ini, saya memberikan komitmen penuh kepada Chelsea," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen