Conte puji semangat Inter cabar Juventus

Oleh Staff Writer 3 November 2019 163
Conte puji semangat Inter cabar Juventus
BOLOGNA 1 INTER MILAN 2

Pengurus Inter Milan, Antonio Conte, percaya pasukannya telah memaparkan semangat juang yang tinggi untuk terus mencabar Juventus dalam perebutan kejuraaan Serie A.


Skuad kendalian Conte itu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Bologna 2-1 dalam perlawanan Serie A di Stadium Renato Dall'Ara awal pagi tadi.

Romelu Lukaku memastikan tiga mata itu dengan menjaringkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan selepas terlebih dahulu memadamkan jaringan pembukaan Roberto Soriano.

Kemenangan itu membolehkan Inter mengekalkan jurang satu mata dengan pendahulu Serie A, Juve.

Conte berkata kepada Sky Sport Italia: "Objektif kami adalah untuk memaparkan kredibiliti dengan baju yang dibasahi keringat dan itulah yang sedang kami lakukan.

"Saya tahu tugas ini amat-amat sukar dalam pelbagai perkara.

"Saya menggemari sesuatu yang sukar, sejarah saya sudah membuktikan perkara itu.

"Saya sentiasa tiba pada waktu kritikal buat kelab-kelab terbaik dan perlu berusaha keras untuk meletakkan mereka di kedudukan yang sepatutnya.

"Saya pernah melakukannya di Juventus dan Chelsea, saya harap dapat melakukan kerja keras yang sama di Inter.

"Apa yang membuatkan saya gembira ialah bekerjasama dengan sekumpulan pemain hebat yang memberikan segala-galanya.

"Dan hari ini, mereka tidak tunduk dan bersikap negatif untuk bangkit.

"Pemain sudah membuktikan kekuatan rohani mereka untuk bangkit dan menterbalikkan keputusan.

"Tiada apa yang lebih membuatkan kami lebih bangga selain mencapai perkara itu musim ini," katanya.

Conte menggesa pasukannya supaya mengabaikan keputusan yang diperoleh Juve dan hanya menumpukan terhadap apa yang perlu mereka lakukan.

"Kami perlu fokus terhadap diri sendiri dan tidak memikirkan tentang apa yang pasukan lain sedang lakukan.

"Kami perlu meningkatkan diri dan membuktikannya kepada penyokong kami.

"Ia petanda yang hebat kerana amat mudah untuk menilai jika segala-galanya berjalan lancar.

"Pasukan yang memberikan reaksi untuk menukar kesukaran kepada kemenangan adalah petanda yang baik," katanya.

Conte kagum dengan gaya permainan gandingan penyerangnya, Lukaku dan Lautaro Martinez.

Jaringan berganda Lukaku menyaksikan pemain kebangsaan Belgium itu telah menghasilkan sembilan gol daripada 11 perlawanan Serie A musim ini.

Walaupun Martinez gagal menemui sasaran, aksinya ketika bergandingan dengan Lukaku mencuri tumpuan ramai.

"Mereka berpotensi untuk menjadi gandingan utama Inter buat 10 tahun lagi.

"Saya ada membuat sedikit kajian mengenai Lautaro sebelum ke sini.

"Dia seorang penyerang tengah tetapi pada masa sama, dia boleh menjadi penyerang kedua. Dia amat sukar untuk dijangka.

"Lukaku juga penyerang yang luar biasa kerana dia mempunyai fizikal untuk menjadi penyerang tengah.

"Tetapi jika anda memberikannya ruang untuk berlari, dia amat pantas.

"Yang paling penting, saya gembira dengan apa yang telah dilakukan mereka," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen