REAL MADRID 3 INTER 2

Antonio Conte berpuas hati dengan prestasi Inter biarpun tumbang 2-3 kepada Real Madrid sambil tetap berharap dapat mencapai peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL).


Inter bangkit dengan defisit dua gol dalam perhitungan di Estadio Alfredo Di Stefano, awal pagi tadi, apabila pemain gantian, Rodrygo, muncul wira tuan rumah dengan jaringan kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit.

Wakil Itali itu terperosok di dasar Kumpulan B dengan memungut dua mata selepas tiga perlawanan dan akan berdepan Madrid bagi aksi timbal balik di San Siro pula dalam kempen Eropah seterusnya, hujung bulan ini.

Walaupun Inter hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir, Conte tetap yakin dengan pasukannya yang tewas tipis di ibu negara Sepanyol.

"Sudah tentu keputusan akhir meninggalkan kepahitan kepada saya dan pemain saya," katanya kepada Sport Mediaset.

"Perlawanan ini membuktikan bahawa kami masih ada ruang untuk berkembang.



"Tetapi saya tidak pasti berapa banyak pasukan yang mampu datang ke Madrid dan menonjolkan rentak permainan seperti ini. Kami ketinggalan dengan dua gol tetapi berjaya mengimbangi kedudukan sebelum melepaskan peluang untuk mendahului perlawanan.

"Pada pendapat saya, anak buah saya telah membuat langkah besar hari ini. Saya sangat menyukai mentaliti dan keinginan yang kami persembahkan. Pasukan ini berkembang tetapi hasilnya tidak memberi penghargaan kepada persembahan kami."

Karim Benzema menghukum hantaran ke belakang Achraf Hakimi untuk gol pembukaan tuan rumah sementara jaringan Sergio Ramos menyusul dalam situasi sepakan sudut.

Di sebalik Hakimi dikasari Ferland Mendy dalam insiden gol awal pembukaan itu, tetapi Conte enggan mencipta alasan malah mengkritik barisan bentengnya.

"Ada cerita tersendiri di sebalik hantaran ke belakang itu walaupun memang ada sedikit kekasaran terhadap Hakimi," katanya.

"Jaringan kedua yang kami bolosi juga hampir serupa -- kami harus mengatasinya.

"Masih ada banyak aspek yang perlu ditingkatkan dan ketika ini jadi kami perlu memperincikannya."

Gol sumbangan Lautaro Martinez -- yang muncul satu-satunya pemain yang dilahirkan selepas 1996 untuk memahat nama selaku penjaring ke atas Madrid dan Barcelona dalam UCL -- dan Ivan Perisic memacu Inter ke tahap yang baik dengan serangan dijana di kedua-dua bahagian sayap, namun gol kemenangan daripada Rodrygo meletakkan Inter di kedudukan bahaya.

"Masih ada tiga perlawanan lagi," kata Conte.

"Itu bererti ada sembilan mata lagi untuk direbut. Kami tahu ini adalah kumpulan yang paling sukar dan kami akan melakukan apa sahaja untuk lolos."

Inter melancarkan 12 percubaan tetapi hanya tiga tepat ke sasaran berbanding tujuh oleh seteru mereka itu -- yang melepaskan dua gol dalam lima perlawanan UCL berturut-turut.