Conte puji ketenangan pertahanan berbakat, Ampadu 

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2017 816
 Conte puji ketenangan pertahanan berbakat, Ampadu 
CHELSEA 2 BOURNEMOUTH 1

Pengurus Chelsea, Antonio Conte, memuji potensi yang dimiliki Ethan Ampadu susulan penampilan memberangsangkan pemain remaja itu dalam kemenangan dramatik dalam suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ke atas Bournemouth, awal pagi tadi. 


Pasukan kendalian Conte itu menang 2-1 di Stamford Bridge berkat jaringan kemenangan Alvaro Morata pada masa kecederaan sejurus Dan Gosling menyumbat gol penyamaan buat pelawat. 

Ampadu memulakan permainan dengan layangan kad kuning pada minit ke-2 berikutan terjahan ke atas Jermain Defoe, yang kemudian dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.

Bagaimanapun, pemain itu mengharungi perlawanan dengan baik dan memainkan peranan besar dalam kalangan tiga pertahanan di samping Gary Cahill dan Antonio Rudiger.

"Bukan mudah bagi pemain pertahanan untuk meneruskan aksi selepas menerima kad kuning pada minit kedua tetapi dia menunjukkan kematangan dan keperibadian yang hebat," kata Conte kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya pernah katakan bahawa pemain ini, walaupun pada usia yang muda, telah menunjukkan kematangan yang besar.

"Saya tidak suka memberikan hadiah. Jika mereka layak, saya bersedia membariskan pemain muda, kenapa tidak? Ampadu layak bermain, termasuk menentang Everton dan Huddersfield dalam liga.

"Dia perlu bertenang ketika ini, dia mempunyai masa depan yang cerah tetapi dia harus meneruskannya dengan cara ini untuk terus memperbaiki permainannya dan berusaha."

Chelsea mara ke separuh akhir apabila Willian membuka jaringan pada minit ke-13. Campur tangan Morata akhirnya memastikan kemaraan mereka meskipun penyerang itu bakal terlepas kunjungan ke Everton, Sabtu ini susulan kad kuning yang dikutipnya ketika meraikan jaringannya itu. 

"Kehilangannya merupakan satu kerugian besar bagi kami, terutama kerana kami perlu berdepan ujian getir dengan Everton," kata Conte.

"Namun, kami harus gembira dengan pencapaian ini, untuk layak ke separuh akhir dalam salah satu pemburuan trofi di England. Ini bagus untuk kami, terutaman kerana kami sampai ke separuh akhir dengan pelbagai rintangan.

"Saya sangat gembira dengan tindak balas yang baik daripada pemain saya," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen