Pengurus Inter Milan, Antonio Conte, mengalu-alukan kepulangan Zlatan Ibrahimovic ke Serie A selepas penyerang itu menyertai seteru tradisi, AC Milan, sambil mendedahkan bahawa dia pernah berhasrat membawa pemain itu menyertai Chelsea sebelum ini.

Ibrahimovic, 38, menjadi pemain ejen bebas selepas kontraknya bersama LA Galaxy tamat pada penghujung musim Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) 2019 dan memilih untuk pulang ke Itali.

Napoli dan Bologna turut berminat untuk mendapatkan bekas pemain kebangsaan Sweden itu tetapi dia memilih Milan, pasukan yang pernah disertainya selama dua tahun sehingga 2012.

Ibrahimovic melakukan penampilan pertamanya ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Sampdoria, Isnin lalu tetapi gagal membantu skuad kendalian Stefano Pioli itu meraih kemenangan selepas terikat tanpa jaringan di San Siro.

Conte menjangkakan bekas penyerang Manchester United, Barca, Inter dan Paris Saint-Germain (PSG) itu akan melakukan impak yang besar di Milan sambil mendedahkan perwatakan pemain itu, yang pernah dicuba untuk dipancingnya sewaktu berada di Stamford Bridge.

"Pertama sekali, saya mahu ucapkan selamat kembali buat Ibra," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan Serie A menentang Atalanta malam ini.

"Dia seorang juara yang hebat. Saya cuba untuk mendapatkannya sewaktu di Chelsea.

"Saya amat menghormatinya, dia mempunyai perwatakan yang besar selepas melalui zaman kanak-kanak yang sukar.

"Dia pemain yang hebat.

"Saya fikir dia boleh memberikan banyak perkara buat Milan.

"Perwatakannya akan membantu Milan, dia akan membantu pemain lain meningkat.

"Saya fikir amat penting untuk jurulatih memiliki pemain yang akan mengetuai cabaran, pemain yang tahu apa yang anda mahukan dan mengetuai pasukan.

"Apabila jurulatih memiliki pemain seperti itu, segala-galanya akan lebih mudah," katanya.

Inter dikaitkan dengan beberapa pemain dalam jendela perpindahan kali ini selepas menamatkan separuh musim dengan cemerlang.

Antara yang dikaitkan ialah Christian Eriksen, Arturo Vidal dan Ashley Young, namun Conte enggan membincangkan mengenai kemasukan pemain baru ke dalam pasukannya.

"Saya pernah katakannya sebelum ini, saya tidak akan bercakap mengenainya.

"Tiada guna bertanyakan soalan itu kepada saya.

"Saya tidak mahu bersikap biadap tetapi saya tidak akan bercakap mengenai pasaran pemain.

"Ia terpulang kepada kelab ini dan bukannya saya.

"Jendela perpindahan Januari sentiasa agak pelik.

"Seseorang perlu bijak dan memahami bahawa akan ada banyak cakap-cakap.

"Adakalanya perkara benar didedahkan dan anda perlu bersedia seandainya khabar angin yang tidak benar disebarkan.

"Tetapi bola sepak memang seperti itu.

"Anda perlu bijak untuk menghadapinya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa