GENOA 0 INTER 3

Pengurus Inter, Antonio Conte, menyifatkan khabar angin mengenai kemungkinan kelab itu mendapatkan khidmat ketua pasukan Barcelona, ​​Lionel Messi, sebagai "fantasi" walaupun dia menyambut baik perkhabarannya.


Masa depan Messi menguasai berita utama sepanjang 2019-20 dengan spekulasi pemenang Ballon d'Or enam kali itu sudah bersedia meninggalkan Barca sejurus kontraknya berakhir tahun depan.

Dikaitkan dengan Inter, laporan mengenai ayah Messi membeli rumah di Milan minggu ini memacu lebih banyak desas-desus mengenai penghijrahan ke San Siro.

Conte, yang ditanya mengenai Messi, selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Genoa awal pagi tadi memberitahu wartawan: "Kita bercakap mengenai bola sepak fantasi, situasi yang pada masa ini sukar untuk dikaitkan dengan Inter atas banyak sebab.



"Saya tidak fikir ada orang gila di dunia yang tidak menginginkan Messi. Tetapi situasinya sangat jauh daripada jangkauan Inter berikutan apa yang sedang kami lakukan dan apa yang sedang kami cuba bangunkan.

"Kami perlu mewujudkan asas yang kukuh, dan mungkin... saya ulangi, ia adalah bola sepak fantasi; namun, saya menyukai kenyataan bahawa ketika bola sepak fantasi dibangkitkan, pasukan yang selalu dikaitkan dengannya adalah Inter."

Romelu Lukaku menyumbat dua gol ketika jaguh Serie A itu kembali mencatat kemenangan di Genoa selepas seri dua kali berturut-turut.

Alexis Sanchez -- pinjaman daripada Manchester United -- meneruskan penampilannya yang memberangsang dengan menghadiahkan satu gol buat Inter menduduki tempat kedua di tangga teratas, ketinggalan satu mata daripada Atalanta dan empat mata berbanding pendahulu, Juventus, dengan baki dua perlawanan.



Bekas kelab bimbingan Conte itu berpeluang melengkapkan Scudetto kesembilan berturut-turut ketika menentang Sampdoria malam ini.

"Saya rasa setakat ini kami mempunyai 76 mata yang bagus, tetapi saya yakin ia tidak cukup untuk menang," kata Conte.

"Oleh itu, liga akan dimenangi oleh orang lain. Pada masa sama, kami mesti mempunyai tekad mengakhiri kempen ini setinggi yang boleh."