Antonio Conte menjangkakan pertemuan setempat Milan akan menyentuh emosi Zlatan Ibrahimovic sambil menyatakan rasa hormat buat penggempur The Rossoneri itu.

Sejak Ibrahimovic tiba secara percuma daripada LA Galaxy, Milan tidak tewas dalam lima aksi Serie A tatkala pemain berusia 38 tahun itu meledakkan satu gol dalam liga dan Coppa Italia.

Selepas terlepas aksi yang berakhir 1-1 sewaktu menentang Hellas Verona akibat masalah kesihatan, Ibrahimovic dijangka beraksi awal pagi esok.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu ketinggalan 19 mata di belakang Inter menjelang pertemuan 'Derby della Madonnina' itu tetapi pengurus Inter, Conte, berkata kehadiran Ibrahimovic akan menjadikan aksi di San Siro lebih baik.

"Bagus untuk melihat semua pemain dapat turun dalam perlawanan paling penting," katanya.

"Ibrahimovic seorang juara yang memberikan Milan kualiti dan karisma.

"Saya sangat menghormatinya. Dia bekas pemain Inter dan saya memikirkannya daripada segi emosi. Ia akan menjadi aksi hebat."

Conte turut ditanya mengenai kecergasan Samir Handanovic selepas penjaga gol The Nerazzurri itu mengalami kecederaan tangan kiri.

"Pihak perubatan boleh bercakap mengenai situasi itu, mereka lebih arif tentangnya," ujar pengurus itu.

Dia juga secara positif bercakap mengenai perkembangan Christian Eriksen selepas pemain tengah itu dua kali melakukan penampilan sejak tiba daripada Tottenham Hotspur, sewaktu menang 2-0 ke atas Udinese dalam saingan Serie A dan menewaskan Fiorentina 2-1 di pentas Coppa Italia.

Ditanya mengenai tempoh diperlukan pemain berusia 27 tahun itu untuk 100 peratus cergas, Conte berkata: "Saya harap tidak begitu lama. Dia memainkan peranan ketika menentang Fiorentina dan berada dalam kesebelasan utama sewaktu berdepan Udinese.

"Dia memerlukan masa untuk memahami idea saya tetapi Eriksen seorang pemain pintar. Dia pantas memahami prinsip dan saya gembira dengannya.

"Eriksen adalah seorang pemain yang hadir ke Inter dengan perwatakan hebat. Kami membelinya untuk corak permainan tertentu.

"Jangan lupa bahawa aksi di Itali lebih taktikal berbanding tempat lain. Ia tidak ditetapkan hanya untuk satu situasi, jadi dia memerlukan masa untuk berkongsi idea di atas padang."



Editor: Nafis Abdullah