Conte: Inter pasukan pilihan? Ada tujuh kelab sedang rebut Scudetto

Oleh Muzaffar Musa 23 Januari 2021 88
Conte: Inter pasukan pilihan? Ada tujuh kelab sedang rebut Scudetto
Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, yakin terdapat tujuh pasukan sedang merebut kejuaraan Serie A musim ini dan walaupun pasukannya sentiasa berada dalam kelompok empat teratas, dia menegaskan bahawa skuad Nerazzurri itu bukan pasukan pilihan untuk memenangi Scudetto.

Inter kini sedang berada di tangga kedua liga dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang seteru setempat, Inter Milan.

Bagaimanapun, tahap keyakinan mereka semakin melonjak selepas menewaskan juara sembilan kali berturut-turut, Juventus, 2-0 minggu lalu.

Kejayaan di San Siro itu kembali membuktikan wibawa mereka dalam bola sepak Itali, di mana mereka tidak pernah memenangi Scudetto sejak menjulang kejuaraan 'treble' musim 2009-10.

Tetapi Conte menafikan pasukannya sebagai pilihan sambil beranggapan Napoli, Roma, Juve, Atalanta dan Lazio juga akan bersaing dalam merebut kejuaraan itu di samping tiket ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
 
"Saya sentiasa berkata sejak permulaan musim ini bahawa saya dapat lihat tujuh pasukan sedang merebut empat kedudukan teratas sama ada untuk memenangi Scudetto atau tempat untuk ke UCL musim depan," kata Conte menjelang perlawanan menentang Udinese awal pagi esok.

"Saya fikir dalam separuh pertama musim ini, ia sudah nampak seperti itu berdasarkan pandangan saya. Kita dapat lihat sesetengah pasukan lebih tekal berbanding pasukan lain tetapi pada penghujung separuh pertama Serie A kali ini telah mengesahkan bahawa tujuh pasukan akan merebut kejuaraan itu sehingga hujung musim ini."

Inter memenangi sembilan daripada 11 pertemuan Serie A terdahulu dengan Udinese dan tidak pernah bolos dalam lima pertemuan terakhir dengan kelab itu.

Skuad Nerazzurri itu menjaringkan 45 gol dalam 18 perlawanan musim ini -- hanya juara Bundesliga, Bayern Munich, menjaringkan lebih banyak gol (48) dalam lima liga utama Eropah musim 2020-21.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen