Conte ikrar saji aksi menarik bertemu Sevilla 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Ogos 2020 246
Conte ikrar saji aksi menarik bertemu Sevilla 
Antonio Conte berjanji bahawa Inter akan "memukau" ketika menentang Sevilla dalam final Liga Europa. 

Jaringan berganda daripada Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku membantu Inter untuk mencetak kemenangan 5-0 ke atas Shakhtar Donetsk dalam pertemuan separuh akhir awal pagi tadi untuk menempa tiket bertemu juara lima kali, Sevilla, awal pagi Sabtu ini. 

Selepas Sevilla merakamkan kemenangan ke atas Manchester United, skuad kendalian Conte itu tampak penuh bersemangat untuk mara dan bekas pengurus Chelsea berkenaan menegaskan pasukannya sedang bersemangat untuk menghiburkan dan juga meraih kemenangan.

"Pencapaian ini sesuatu yang memuaskan untuk semua orang. Perkara paling penting bagi saya adalah ramai pemain yang beraksi di tahap perlawanan ini buat pertama kalinya," katanya kepada Sky Italia.

"Mereka menimba pengalaman penting dalam kejohanan yang sudah lama kelab Itali tidak jejaki. 

"Sevilla berpengalaman luas, saya memenangi trofi ini sebanyak empat kali dalam enam atau tujuh tahun terakhir. Namun, kami bersemangat kental, dahagakan kejayaan dan mempunyai kemahuan untuk memukau orang ramai.

"Kini kami perlu berehat, memulihkan diri dan berusaha membawa kegembiraan buat peminat Inter. Saya rasa berbangga dengan barisan pemain ini kerana mereka mencurahkan seluruh jiwa dan raga mereka.

"Seperti yang selalu saya katakan, kami harus meninggalkan padang tanpa rasa penyesalan. Kami perlu berikan yang terbaik, melakukan segala yang terdaya jadi jika kami kalah, ia kerana pihak lawan adalah lebih baik."

 

Buat julung kalinya Inter mara ke final Eropah sejak 2010, iaitu ketika mereka menjulang mahkota Liga Juara-Juara (UCL) dengan mengalahkan Bayern Munich. 

"Usaha kami sepanjang tahun ini termasuk tempoh pasca penangguhan musim ini akhirnya berbayar," katanya lagi. 

"Semua pemain tahu bahawa saya benar-benar percaya yang kami akan menjadi watak utama dalam pelbagai kejohanan. 

"Saya rasa nasib tidak menyebelahi kami dalam UCL dan Coppa Italia kerana kami lebih berhak. Kami juga mengalami beberapa kemunduran dalam Serie A yang sepatutnya boleh dielakkan. 

"Namun, saya percaya kita akan lebih banyak menimba ilmu menerusi situasi negatif daripada yang positif. Kami belajar, menggunakan pelajaran itu dan anda boleh melihat kemajuannya. Akhirnya, kami menamatkan kempen Serie A dengan satu mata di belakang Juventus dan lebih unggul daripada mereka daripada segi kebanyakan statistik.

"Kami mahu menjadi watak utama dalam Liga Europa, kami sudah menjejakkan kaki ke final, jadi ayuh nikmati pencapaian ini, kemudian memikirkan Sevilla."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen