Conte bangga perjalanan Inter ke puncak liga

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2019 211
Conte bangga perjalanan Inter ke puncak liga
Antonio Conte bangga dengan skuad bimbingannya, Inter Milan, selepas The Nerazzurri naik ke tangga teratas Serie A susulan kemenangan 2-1 ke atas SPAL yang sedang bergelut semalam.

Dua jaringan Lautaro Martinez dalam babak pertama memberikan Inter kawalan penuh di San Siro walaupun rembatan Mattia Valoti menyerikan kebangkitan SPAL selepas rehat.

Martinez melepaskan dua peluang untuk mencipta hatrik tetapi Inter tidak perlu menanggung ketumpulan penyerang itu tatkala mereka mengambil kesempatan ke atas keputusan seri dalam pertempan Juventus dan Sassuolo sebelum itu.

Dan Conte, yang sentiasa berhati-hati setiap kali peluang kejuaraan Inter musim ini dipersoal, berbesar hati melihat bagaimana mereka berkembang di bawah bimbingannya.

"Kami berusaha sejak hari pertama untuk memberi impak dan mengganggu pasukan lain," katanya.

"Kembali ke puncak liga selepas 14 perlawanan membuatkan kami bangga kerana sedar dengan perjalanan yang telah dilalui.

"Dalam masa sama, ia memberi semangat positif kepada kami, membantu untuk tampil lebih baik serta mengawal permainan tanpa bergelut sehingga wisel penamat kerana dalam situasi sebegitu, sebarang hantaran lintang atau percubaan mampu mengubah segalanya.

"Kami tahu Juve telah mencicirkan mata, jadi kami bersedia untuk mendapatkan keputusan terbaik.

"Kami berhak menewaskan SPAL dan penting untuk ingat bahawa kami fokus kepada proses perkembangan sendiri, jadi kami tidak membandingkan diri kami dengan yang lain."

Walaupun Martinez kecewa tidak berjaya menambah jumlah jaringan, Conte memuji persembahan penggempur itu yang telah menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan musim ini.

"Martinez -- kami panggilnya Lauty -- hidup untuk jaringan tetapi saya lihat dengan jelas bahawa dia seorang penyerang hebat yang berusaha untuk pasukan," tambah pengendali itu.

"Dia sentiasa turun ke bawah dan cuba melakukan serangan. Begitu juga dengan Romelu Lukaku. Dia tidak jaringkan gol tetapi melibatkan diri secara tetap."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen