CHELSEA 3 ROMA 3

Chelsea terpaksa menukar taktikalnya pada separuh masa kedua untuk mengikat AS Roma 3-3, demikian menurut pengendalinya, Antonio Conte, yang mengakui keputusan meletakkan David Luiz di bahagian tengah tidak berhasil.


Selepas membuka 45 minit awal menerusi gol David Luiz, Eden Hazard dan tonggak Roma, Aleksandar Kolarov dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi, kelincahan Edin Dzeko dengan dua gol menyaksikan pelawat mendahului 3-2.

Ketika permainan berbaki 20 minit, Conte mengubah formasi taktikalnya dari 3-5-2 kepada a 4-3-2-1.

Perubahan itu berbaloi apabila Hazard menjaringkan gol penyamaan sebelum The Blues terpaksa mempertahankan kedudukan itu dalam tempoh 15 minit terakhir, dengan Dzeko hampir melakar hatrik pada masa kecederaan.

"Pemain telah memberikan usaha yang maksimum dan saya berterima kasih kepada mereka," kata Conte kepada Media Premium sejurus tamat perlawanan. "Kami bergelut pada separuh masa pertama dan keputusan untuk mengubah sistem permainan tidak menjadi.

"Kami cuba melakukan penambahbaikan dan terbukti kami bergelut dengan tekanan Roma.

"Kami menghasilkan dua gol, namun kami tidak dapat mengawal permainan. Saya yang bertanggungjawab kerana perubahan sistem ini berikutan kekurangan pilihan pemain.

"Saya mengubah posisi David Luiz bagi memperkasakan bahagian tengah dan secara jujurnya saya tidak berasakan ia berhasil."

Bagaimanapun, Conte tidak mahu menjadikan faktor kecederaan sebagai alasan selepas bergelut dalam perlawanan Kumpulan C itu tatkala mereka kehilangan khidmat N'Golo Kante, Victor Moses dan Danny Drinkwater.

"Ia bukan mengenai kecederaan," kata Conte. "Saya cuba menghasilkan yang terbaik daripada pasukan. Pemain-pemain ini telah beraksi bersama sejak pra-musim. Kami memiliki tiga kecederaan, bukannya tujuh atau lapan tetapi ia tetap situasi cemas buat kami.

"David Luiz bergelut dengan masalah betis, Tiemoue Bakayoko menamatkan permainan dengan masalah paha dan saya berharap ia tidak serius.

"Selain daripada itu, kami berdepan sebuah pasukan yang bagus dan saya mahu memuji barisan pemain saya. Apabila anda menukar sistem, itu semua penambahbaikan dan malam ini kami telah melakukan improvisasi. Saya tidak menggemarinya kerana saya lebih suka keadaan yang teratur dan berjuang dengan cara tersendiri.

"Kalau bukan kerana usaha pemain, kami tidak akan meraih sebarang mata pun di sini," katanya lagi.