FIORENTINA 1 INTER 1

Antonio Conte berkata Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku "memerlukan ruang untuk bernafas" selepas Inter dirantai Fiorentina 1-1.

Gol awal daripada Borja Valero kelihatan sudah cukup untuk menghantar pasukan kendalian Conte itu dua mata mengatasi Juventus di puncak Serie A awal pagi tadi tetapi Inter akhirnya dihukum selepas membazirkan deretan peluang.

Pemain gantian, Dusan Vlahovic, muncul wira Fiorentina apabila memungut bola di kawasan sendiri sebelum menggelecek pertahanan Inter lalu membuat penyudah baik yang gagal dikekang Samir Handanovic dalam masa pemberhentian.

Conte, yang pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) pertengahan minggu lalu ekoran kekalahan di Barcelona, ​​percaya kelesuan terbukti menjadi faktor penting apabila Inter dibolosi pada penghujung perlawanan selain memperlihatkan gandingan Martinez dan Lukaku melepaskan deretan peluang ketika menentang Fiorentina.

"Sukar untuk bercakap mengenai tahap kecergasan kerana kami mempunyai tujuh perlawanan dalam masa 21 hari sementara khidmat Lautaro dan Lukaku terus ditagih," kata Conte kepada Sky Sport Italia.

"Malangnya, kecederaan Alexis Sanchez meletakkan kami dalam situasi yang membataskan kami merehatkan mereka. Jadi, saya hanya boleh mengucapkan terima kasih kepada mereka. Pemain-pemain ini perlu berehat tetapi kami tidak mampu menawarkannya kepada mereka.

"Ini adalah perlawanan yang menyaksikan kami tidak meraih keputusan yang sepatutnya. Ketika menghadapi Barcelona, ​​kami telah melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan melepaskan dua gol di sebalik kami seharusnya melakukannya dengan lebih baik lagi.

"Ia adalah tindak balas yang hebat daripada pasukan. Jaringan penyamaan pada lewat permainan adalah mengecewakan kerana kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik, termasuk malam ini dan ketika menentang Barcelona.

"Saya tidak fikir untuk merungut tentang usaha atau sikap pemain-pemain. Ia merupakan proses perkembangan, kami memerlukan kesabaran untuk belajar daripada kesilapan.

"Jika kami tidak mempunyai kesabaran dan menganggap kami harus memenangi setiap perlawanan hanya kerana kami adalah Inter, maka kami tidak akan maju.

"Kami bercakap tentang pemain yang sentiasa diturunkan dan berjuang selama 90 minit, jadi sudah tentu akan timbul soal kelesuan."

Keputusan seri itu meninggalkan Inter menyamai mata Juventus menuju perlawanan terakhir 2019 apabila Nerazzurri akan menghadapi Genoa hujung minggu ini.

Bagaimanapun, mereka perlu beraksi tanpa Martinez ekoran kad kuning kelima yang dikumpulnya musim ini manakala Marcelo Brozovic turut digantung.