Pengendali Porto, Sergio Conceicao, memuji persembahan anak-anak buahnya selepas mempamerkan aksi hebat ketika menundukkan RB Leipzig 3-1 dalam saingan Kumpulan G, Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Leipzig memenangi aksi pertama 3-2 ketika bertemu di Red Bull Arena bulan lalu sehingga membuat Conceicao terpaksa memberi amaran kepada seluruh pasukan agar lebih bersedia menjelang pertemuan di Estadio do Dragao.

Ternyata peringatan itu disahut oleh pemain-pemainnya apabila Hector Herrera memberikan pendahuluan buat Porto seawal minit ke-13.

Walaupun Timo Werner menyamakan kedudukan, Danilo Pereira kembali meletakkan tuan rumah di depan sebelum Maxi Pereira menambah gol ketiga.

"Ia adalah perlawanan yang getir. Kami beraksi baik sebagai satu unit dan tidak menanggung kekalahan seperti di Jerman, sebelum ini.

"Kami menyekat kekuatan pasukan lawan dan pemain-pemain mengikuti arahan walaupun menentang pasukan yang hebat daripada segi kualiti individu.

"Porto layak memenanginya dan tahniah buat semua pemain," kata Conceicao.

Keputusan itu meletakkan Porto di tangga kedua Kumpulan G, dua mata di depan Leipzig tetapi dibezakan empat mata dengan pendahulu, Besiktas.