Piala Dunia mungkin kembali ke Amerika Utara pada 2026 selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan tawaran dari negara Eropah dan Asia 'tidak layak' untuk menganjurkan kejohanan itu.

Amerika Syarikat (AS) menganjurkan temasya itu buat julung kalinya pada 1994 dan sejak itu, bola sepak di negara itu semakin berkembang.

Dalam majlis FIFA yang diadakan di Zurich pada minggu ini, peluang untuk negara berkenaan menganjurkan Piala Dunia mendapat reaksi positif.

Dalam majlis itu juga, FIFA mengumumkan penganjuran Piala Dunia 2026 tidak akan dibuka kepada mana-mana negara sebelum pusingan akhir di Russia dan Qatar dilangsungkan.

Dengan negara di Eropah dan Asia bukan pilihan, peluang buat negara di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) untuk membuat penawaran semakin cerah dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak AS, Sunil Gulati, tidak menolak penganjuran bersama antara Mexico dan Kanada.

"Keputusan itu telah mengubah sedikit landskap (tawaran 2026)," kata Gulati yang menyokong penambahan pasukan dalam Piala Dunia.

"Jawapannya adalah 'sudah tentu' (kami berminat menganjurkannya).

"Kami hanya mendapat peraturan pertama, jadi kami perlu menilainya. Kami akan mendapat lebih banyak maklumat mengenainya pada Januari nanti.

"Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Kanada dan Mexico. Kami juga mempunyai negara yang pernah menganjurkan Piala Dunia dengan penduduk seramai 320 juta orang dilengkapi stadium dan infrastruktur hebat."

Begitupun, jumlah negara yang akan bertanding dalam 2026 masih samar-samar meskipun sebelum ini, Presiden FIFA, Gianni Infantino, cuba melebarkan penyertaan 32 pasukan seperti yang diadakan ketika ini.

Ia akan diputuskan pada Januari nanti apabila ahli jawatankuasa bersidang kembali.