Bayern Munich mengumumkan pemain sayap, Kingsley Coman, telah memeterai kontrak selama tiga tahun untuk meneruskan masa depannya bersama juara Bundesliga itu sehingga 2023.

Coman pada mulanya menyertai Bayern secara pinjaman selama dua musim daripada Juventus pada 2015 sebelum melengkapkan perpindahan tetap bernilai €28 juta (RM135.4j) pada April lalu.

Pemain antarabangsa Perancis itu telah menandatangani kontrak awal dengan Bayern sehingga 2020 tetapi selepas permulaan hebat dalam kempen baru ini serta Bayern semakin dominan di bawah bimbingan jurulatih, Jupp Heynckes, dia menikmati habuan baru semalam.

Kesepakatan baru selama enam tahun itu turut melibatkan urusan perjanjian Sandro Wagner dari seteru Bundesliga, Hoffenheim, apabila mengikat kontrak selama dua setengah tahun melibatkan yuran yang dilaporkan €13 juta (RM62.8j).

Coman telah membuat 15 penampilan dalam Bundesliga musim ini dengan menjaringkan dua gol untuk membantu Bayern meraih bekalan 11 mata di puncak liga.

Pemain berusia 21 tahun itu yang memulakan kariernya di Paris Saint-Germain (PSG), menamatkan kempen tahun ini sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-1 DFB-Pokal ke atas seteru rapat, Borussia Dortmund, semalam.

Coman, yang dilihat sebagai pewaris kepada Franck Ribery yang kini mencecah usia 34 tahun, teruja dengan perjanjian baru itu.

"Saya sangat gembira dan berpuas hati bahawa saya akan bermain untuk kelab ini dalam tempoh yang lama," kata Coman.

"Saya berasa sangat selesa di Bayern dan di Munich."