Colombia tidak takut ancaman England -- Ospina

Oleh Staff Writer 2 Julai 2018 196
Colombia tidak takut ancaman England -- Ospina
Colombia serta semua penyokong setia pasukannya tidak gentar apabila mereka akan berdepan England dalam pusingan kedua Piala Dunia, kata David Ospina.

Saingan di Russia mempamerkan laluan getir tetapi menarik buat skuad bimbingan Jose Pekerman itu. Ia bermula dengan kekalahan 2-1 di tangan Jepun dalam aksi pertama, di mana Carlos Sanchez diperintah keluar padang tatkala perlawanan baru berusia tiga minit.

Colombia menyambung aksi bertemu Poland di Kazan dalam pertemuan yang disifatkan sebagai penentu buat generasi terkini yang tidak berjuang dalam Piala Dunia 2014 di Brazil, saingan yang menyaksikan mereka terkandas dalam suku akhir kepada tuan rumah.

Bagaimanapun, mereka menyahut cabaran dan menghasilkan salah satu persembahan terbaik daripada skuad Colombia untuk membenam Poland 3-0 sebelum mengesahkan status ke pusingan kedua setelah mengatasi Senegal 1-0 dalam perlawanan terakhir.

England menjadi lawan mereka seterusnya di Moscow pada awal pagi Rabu ini dan walaupun The Three Lions dilihat sebagai pilihan, Colombia tetap yakin.

"Kami adalah pasukan yang lebih baik berbanding empat tahun lalu," kata penjaga gol, Ospina.

"Kami bersatu, lebih berpengalaman dan kuat jika dibandingkan dengan pasukan di Brazil, empat tahun lalu.

"Colombia memiliki pengalaman dan kualiti yang bagus. Barisan pemain kami beraksi bersama pasukan yang hebat, dalam liga yang bagus dan sudah terbiasa dengan perlawanan besar. Jadi, tiada apa yang dapat menakutkan kami.

"England sebuah pasukan yang bagus tetapi kami tidak kisah siapa yang bakal dihadapi. Kami hanya mahu memberikan segala-galanya buat negara dan mendapatkan kekuatan daripada sokongan peminat kami.

"Kami sentiasa mahu melakukan apa sahaja untuk negara. Satu kebanggaan apabila dapat menyarung jersi Colombia," ujarnya.

Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada semangat tinggi Colombia setakat ini adalah sokongan padu penyokong dan bagi Ospina, setiap kali mereka turun beraksi, ia ibarat bermain di laman sendiri.

"Sokongan mereka sangat hebat. Ia menjadi satu inspirasi. Warga Colombia berada di serata dunia tetapi bagi mereka yang berada di Russia, ia memberi makna segalanya buat saya. 

"Mereka mempamerkan keinginan dan membuatkan kami percaya bahawa skuad Colombia berada di negara sendiri. Sungguh mengujakan apabila melihat mereka datang dan menyokong kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen