Colombia pasukan paling kotor pernah dihadapi, kata Stones

Oleh Staff Writer 6 Julai 2018 2195
Colombia pasukan paling kotor pernah dihadapi, kata Stones
Pertahanan England, John Stones, menyifatkan Colombia sebagai pasukan paling kotor pernah ditemui susulan aksi kontroversi Piala Dunia 2018 di Moscow.

Skuad bimbingan Gareth Southgate itu memenangi aksi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas perlawanan di Stadium Spartak berakhir seri 1-1 dalam waktu permainan sebenar, menyaksikan Harry Kane menjaringkan gol keenam peribadi di Russia tetapi akhirnya dipadamkan oleh tandukan dalam waktu kecederaan oleh pertahanan tengah Colombia, Yerry Mina.

Pengadil perlawanan, Mark Geiger, tampak bergelut untuk mengawal ketegangan perlawanan tatkala Wilmar Barrios hanya diberikan kad kuning selepas menghantukkan kepala ke dada Jordan Henderson dalam babak pertama sambil barisan pemain Colombia melambatkan perlawanan sebelum sepakan penalti Kane pada minit ke-57.

Pertemuan di Moscow itu menyaksikan Stones sentiasa mengikat kelibat penyerang Colombia, Radamel Falcao, dan dia jelas menjalankan tugas dengan cemerlang.

Menjelang saingan suku akhir berdepan Sweden malam esok, pertahanan Manchester City itu memberikan reaksi terhadap cara rakan sepasukannya mengawal ketegangan di sepanjang perlawanan ketika bertemu Colombia.

"Perlawanan sangat tegang," kata Stones.

"Mereka mungkin pasukan paling kotor pernah saya hadapi, tidak menghormati apabila kami meraih sepakan penalti, mengelilingi dan menolak pengadil, kemudian tandukan ke dada yang anda saksikan dan merosakkan titik penalti.

"Terdapat banyak perkara yang tidak pernah anda dengari di atas padang serta dalam sesebuah perlawanan bola sepak.

"Bagi saya, kami mempamerkan ketenangan yang terpuji dan tidak terikut-ikut dengan kehangatan perlawanan.

"Apabila anda bertemu pasukan yang sentiasa mahu bergaduh, mengganggu momentum anda, anda berkemungkinan terpedaya dengannya dan itu yang mereka mahukan.

"Itu adalah petanda yang cukup jelas buat pasukan agar sentiasa menjaga kualiti pasukan di dalam terowong dan turun beraksi serta berpegang kepada perancangan asal. Ia adalah satu situasi sukar tetapi kami berbangga dapat mengharunginya."

Raheem Sterling telah dirempuh di bahagian bahunya oleh Eduardo Urtasun, salah seorang barisan kejurulatihan Colombia ketika menamatkan separuh masa pertama, sekaligus membuatkan Stones terkejut.

"Ada sesetengah perkara yang tidak pernah saya lihat, insiden melibatkan Sterling dan salah seorang daripada kem Colombia. Saya tidak pernah menyaksikan perlawanan sebegini dan bagaimana mereka mengawal diri.

"Berdasarkan apa yang berlaku, saya menjangkakan akan ada layangan kad merah. Jika pengadil melihat hantukan kepala ke dada itu, perlawanan pasti berubah," ujarnya.

Dalam masa sama, Stones menafikan telah mengejek Barrios ketika Eric Dier menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk mengesahkan kemenangan England seperti yang dihebahkan oleh barisan jurugambar, dengan menjelaskan dia sebenarnya menjerit ke arah bangku simpanan England.

"Untuk menewaskan mereka, tiada apa yang boleh anda lakukan selain aksi sebegitu.

"Lebih perit jika kami mencari masalah dengan mereka dan membolehkan Colombia menyaksikan salah seorang pemain kami dibuang padang.

"Akhirnya, mereka yang berada di atas pesawat untuk pulang sementara kami masih di sini," tambah Stones.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen