Serge Gnabry menganggap Cologne tidak mampu memberi saingan kepada permulaan garang Bayern Munich yang menghasilkan tiga gol awal susulan asakan bertubi-tubi untuk memastikan gergasi Bavaria itu kekal di puncak Bundesliga, awal pagi tadi.

Robert Lewandowski, Kingsley Coman dan Gnabry meledakkan gol awal untuk gergasi Jerman itu melakar kemenangan 4-1 yang menyaksikan mereka sekali lagi menjarakkan diri dengan RB Leipzig.

Gnabry kembali mencetak gol dalam babak kedua sebelum Mark Uth mengurangkan defisit jaringan perlawanan, tetapi Bayern terus menyengat menerusi dua jaringan lagi sekali gus menerbitkan rasa puas penggempur itu dalam soal bagaimana mereka memulakan perlawanan.

"Kami gembira dapat meraih tiga mata, saya fikir kami beraksi dengan sangat mantap dalam babak pertama kerana Cologne langsung tidak berpeluang," katanya kepada laman sesawang Bundesliga.

"Saya fikir dalam babak kedua, kami sepatutnya mencetak gol keempat dengan lebih awal untuk tidak membenarkan kebangkitan mereka tetapi pada akhirnya, kami gembira dengan tiga mata ini dan saya rasa kami menunjukkan prestasi yang utuh."

Gnabry terlepas untuk merakamkan jaringan hatrik ketika hilang keseimbangan selepas memperdayakan penjaga gol Cologne, Timo Horn, yang turut menyelamatkan percubaan jarak jauh Joshua Kimmich sebelum rehat.

Di sebalik keputusan memberangsangkan itu, ketidakupayaan Bayern untuk menokok gol selepas jaringan ketiga sehingga pertengahan separuh masa kedua membuatkan penjaga gawang, Manuel Neuer, kecewa.

"Saya menjangkakan saingan lebih sengit pada awal permainan," katanya.

"Kami mampu meledak 10 gol. Kami patut menyalahkan diri sendiri.

"Ia menyakitkan hati saya kerana kami tidak dapat mengekalkan rentak hingga menyukarkan diri sendiri."

Cologne turun berbekalkan empat kemenangan berturut-turut di laman sendiri, namun mereka dikejutkan dengan prestasi permulaan lawan mereka itu.

"Dalam babak pertama, kami terus berkembang," kata pengurus, Markus Gisdol, dalam sidang akhbar.

"Bayern membuktikan kelas mereka, kami terlalu pasif dan tidak cukup berani.

"Saya berharap kami dapat bertahan lebih lama dalam perlawanan ini tetapi dalam separuh masa kedua, kami mula bermain dengan baik. Barisan pemain saya dapat belajar sesuatu daripada kedua-dua babak."

Editor: Shaiful Shamsudin