Manchester City mengesahkan Sergio Aguero akan kembali ke England seperti yang dirancang selepas mendapat lampu hijau daripada doktor kerana mengadu pening dalam kekalahan 4-2 Argentina kepada Nigeria di Krasnodar, Russia, malam tadi.

Penyerang itu dibawa ke hospital di Krasnodar sebagai langkah berjaga-jaga selepas berasa pening pada separuh masa pertama aksi persahabatan itu.

Aguero mengatasi Hernan Crespo di tempat ketiga carta jaringan terbanyak Argentina apabila menyumbat gol ke-36 bersama pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, dia tidak muncul selepas rehat lalu Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengesahkan Aguero telah menjalani pemeriksaan lanjut selepas perlawanan itu sebelum dibenarkan kembali ke penginapan pasukan.

Aguero dibenarkan untuk terbang pulang ke Manchester dan kakitangan City akan terus memantau perkembangannya sebelum dibenarkan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu ini.

Satu kenyataan City menyebut: "Sergio Aguero dibenarkan oleh doktor untuk kembali ke Manchester seperti yang dirancang selepas mengalami pening kepala dalam kekalahan 4-2 Argentina kepada Nigeria di Krasnodar.

"Sergio tidak pernah pitam dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dia akan dinilai oleh pasukan perubatan kelab menjelang kunjungan aksi EPL ke Leicester City."