NAPOLI 2 MANCHESTER CITY 4

Manchester City menterjemahkan aksi cemerlang dalam saingan liga domestik apabila melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Napoli 4-2 dalam aksi Kumpulan F, di Stadium San Paolo, awal pagi tadi.


Bagaimanapun, anak-anak buah Pep Guardiola terlebih dahulu dikejutkan tuan rumah ketika aksi berusia 21 minit apabila hantaran satu dua Lorenzo Insigne dan Dries Mertens membolehkan pemain sayap Itali itu membuka tirai jaringan.

Tandukan Nicolas Otamendi hasil hantaran Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan buat Citizens pada minit ke-34 dan kedudukan 1-1 kekal menuju waktu rehat.

City hanya memerlukan tiga minit sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung apabila John Stones melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Leroy Sane untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Jorginho kembali mengikat kedudukan 2-2 selepas Napoli dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-62, namun kedudukan itu hanya bertahan tujuh minit sebelum Sergio Aguero kembali meletakkan pelawat di depan.

Larian pantas Sane dalam satu serangan balas disambung oleh Aguero sebelum dia meledakkan rembatan kaki kanan menewaskan Pepe Reina, untuk mencatat jaringan ke-178 peribadi buatnya bersama City dan memecahkan rekod Eric Brook dalam senarai penjaring terbanyak kelab itu sepanjang zaman.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 3-2, Raheem Sterling menambah gol keempat City menerusi sepakan leret untuk memastikan kemenangan 4-2 buat pelawat, sekaligus menempah tiket dalam kelompok 16 terbaik.