Ole Gunnar Solskjaer melabelkan Manchester City sebagai pasukan terbaik di England selepas Manchester United diundi untuk menentang seteru mereka itu dalam separuh akhir Piala EFL.

Awal pagi tadi, United menundukkan Colchester United 3-0 di Old Trafford untuk melepasi kelompok lapan terakhir.

Pengendali dari Norway, Solskjaer, berkata skuad kendalian Guardiola itu -- yang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut tetapi mengalami kemerosotan prestasi -- merupakan pasukan terbaik England.

"Ia akan jadi hari hebat di Manchester. Mereka pasukan terbaik England dan kami yakin menuju separuh akhir," katanya.

"Sudah tentu kami menghormati mereka dan seperti saya katakan dalam aksi setempat sebelum ini, bagi saya mereka adalah pasukan terbaik England.

"Mereka mampu mengetepikan anda, jadi kami perlu mendapatkan prestasi terbaik dan bersedia untuk berdepan mereka sekali lagi.

"Namun, kami telah buktikan bahawa kami mampu berikan masalah kepada mereka. Saya fikir ia bakal jadi dua aksi hebat."