Pep Guardiola mengakui Manchester City masih jauh ketinggalan untuk menyaingi pasukan yang sedang beraksi di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

City terkandas dalam pusingan 16 menerusi gol di tempat lawan berdepan AS Monaco.

Manuel Pellegrini membawa City ke peringkat separuh akhir pada musim 2015-16 -- persembahan terbaik mereka dalamLiga Juara-Juara -- namun Guardiola berkata pemainnya masih menimba pengalaman beraksi dalam kejohanan itu.

Ketika Guardiola diajukan soalan bagaimana keadaan keseluruhan pasukannya jika dibandingkan dengan pasukan yang sedang beraksi dalam suku akhir Liga Juara-Juara ketika ini, dia berkata:"Kami masih jauh ketinggalan. Bukan daripada segi kualiti tetapi daripada aspek permainan, terdapat perbezaan yang ketara.

"Ketika berdepan AS Monaco, kami dikejutkan dengan betapa hebatnya pasukan itu selepas menyaksikan mereka melakar kemenangan ke atas Borussia Dortmund.

"Kami meledak enam gol dalam pusingan 16 tetapi kami tetap tersingkir, itu membuktikan dalam tempoh 180 minit apa sahaja boleh berlaku.

"Untuk itu, kamu memerlukan pengalaman. Dengan pengalaman ini, ia akan membantu kami musim depan."