Real Madrid sedar dengan cabaran getir yang dihadapi selepas diundi menentang Manchester City dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah tetapi pengarah kelab LaLiga itu, Emilio Butragueno, kekal yakin dengan kemampuan Los Blancos.

Real berdepan kemungkinan terpaksa menentang lawan yang sukar selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Seperti PSG, City turut mengungguli peringkat kumpulan selepas mengutip dua kali ganda berbanding tujuh mata yang diraih pasukan tangga kedua, Atalanta, tatkala mereka tidak mencatat sebarang kekalahan.

Pertemuan itu bakal menyaksikan bekas pemain dan pengurus Barcelona, Pep Guardiola, menentang bekas seterunya sambil City cuba untuk meneruskan kemaraan dalam pusingan kalah mati.

Walaupun Butragueno berpendapat kekuatan kewangan membuatkan City menjadi halangan sukar, dia yakin pengalaman yang dimiliki Real mampu membantu di tahap ini.

"Semua pasukan adalah sukar ketika ini," katanya.

"City adalah lawan yang kuat. Ia akan menjadi pertemuan yang menarik dan kami perlu bersedia. Ia memerlukan aksi terbaik kami.

"Mereka telah melaburkan banyak wang tetapi kami adalah Real Madrid dan sedia berdepan sesiapa sahaja. Kami sudah biasa dengan perlawanan sebegini dan ia akan menjadi sesuatu yang hebat buat peminat."

Seperti Guardiola, pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, menghabiskan tempoh yang lama selaku pemain bersama Barca dan tahu akan kemampuan Real tetapi dia melihat pertemuan pada Februari depan itu sebagai peluang buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.

"Ia sudah tentu aksi yang sukar," katanya.

"Real Madrid telah memenanginya 13 kali, jadi mereka yang terbaik.

"Kami mahu menjadi yang terbaik, jadi kami mahu tewaskan mereka. Satu penghormatan untuk pergi ke Real Madrid dan beraksi di stadium seperti Santiago Bernabeu.

"Kami tahu apa yang bakal dihadapi tetapi mereka juga mengenali pasukan dan pengurus kami. Saya fikir kami perlu sentiasa bersaing dalam semua kejohanan dan berpeluang untuk memenangi sebahagian daripadanya.

"Dalam liga, Liverpool jauh mendahului tetapi kami harus sentiasa bersama."