Rodri mengakui Manchester City bergelut dalam usahanya untuk meraih kejuaraan Piala EFL buat kali ketiga tatkala jaringan kontroversi yang dihasilkan bekas pemain Atletico itu mengesahkan kemenangan.

Dalam aksi final awal pagi tadi, skuad kendalian Pep Guardiola itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa di Wembley selepas gol tandukan Rodri diraih menerusi sepakan sudut yang dilihat tidak patut diberikan.

Mbwana Samatta meledakkan gol sebelum rehat susulan kesilapan John Stones sekali gus memberikan cabaran sukar buat City yang terselamat daripada jaringan penyamaan apabila Claudio Bravo menepis bola tandukan Bjorn Enges pada lewat permainan.

Jika dilihat penguasaan bola yang diraih City, mereka tidak wajar melepaskan jaringan tetapi Rodri mengakui ia merupakan satu pertemuan yang sukar.

"Kami tahu mereka pasukan yang sangat sukar, lebih-lebih lagi mereka tinggi dan kuat. Jadi, kami tidak boleh berputus asa," katanya.

"Saya gembira buat pasukan kerana sukar berada di sini. Saya fikir mereka meledakkan gol selepas kami lakukan kesilapan.

"Akhirnya, kami bergelut tetapi saya fikir kami meraih peluang yang banyak untuk hasilkan gol, namun kami gembira dengan seluruh pasukan.

"Ia kejuaraan kedua kami selepas Perisai Komuniti, jadi kami gembira."

Pemain yang turut cemerlang bersama City, Phil Foden, turut bersetuju dengan pendapat rakan sepasukannya itu selepas menghadapi cabaran getir daripada pasukan yang bergelut untuk mengelakkan diri daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, Villa, tatkala pemain muda England itu mencipta bantuan gol ketika Sergio Aguero membuka tirai jaringan.

"Saya boleh katakan, Aston Villa memberikan aksi bola sepak yang hebat," katanya.

"Apabila beraksi, setiap minit dikira, jadi saya cuba yang terbaik dan berbangga dengan prestasi diri sendiri.

"Lihat pemain seperti Kevin De Bruyne dan David Silva yang hebat. Apabila saya menyertai skuad, saya perlu gunakan kesempatan itu."