Pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez, meletakkan masa depannya dalam kesamaran berhubung ciapannya di Twitter semalam.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menyiarkan satu gambar dengan tulisan: "Kelab baru. Saya akan mengumumkannya dalam tempoh tiga hari lagi."



Justeru, pengikutnya mentafsir bahawa ia mungkin melibatkan perpindahan di sebalik pemain berusia 25 tahun itu masih terikat dengan kontraknya selama enam tahun merangkumi klausa pelepasan bernilai €150 juta (RM716.9j).

Walaupun laporan di media Sepanyol menegaskan bahawa ciapan itu tiada kena mengena dengan masa depan Saul, namun tindakan Antoine Griezmann yang pernah mengumumkan akan kekal di kelab ibu kota Sepanyol itu menerusi sebuah dokumentari yang berjudul 'Keputusan La' pada 2018 bagi mengesahkan akan kekal di kelab berkenaan, akhirnya mengejutkan ramai apabila bersetuju Barcelona setahun kemudian.

Begitupun, pemain tengah itu juga memiliki sebahagian daripada saham bahkan melabur dalam e-sukan kelab berkenaan.

Oleh itu, walaupun tidak mungkin Saul akan mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Wanda Metropolitano hanya seminggu sebelum LaLiga bersambung selepas terjejas akibat wabak COVID-19, beberapa kelab gergasi mula dikaitkan dengan salah seorang pemain tengah terbaik dunia itu.



Antaranya, Manchester City yang mengintai calon pengganti Fernandinho yang semakin dimamah usia manakala masa depan Paul Pogba mungkin memaksa Manchester United untuk mencari gandingan ideal buat Bruno Fernandes yang baru direkrut.

Paris Saint-Germain (PSG) juga sinonim memancing bintang dunia sementara Barcelona berhasrat melepaskan Ivan Rakitic tatkala rundingan perjanjian baru Thiago Alcantara, yang kontraknya di Bayern Munich akan berakhir musim depan, masih buntu.