Chun Yong harap Thailand dapat anjur Kejohanan Futsal Piala AFF

Oleh Staff Writer 24 Oktober 2016 2
Chun Yong harap Thailand dapat anjur Kejohanan Futsal Piala AFF
Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, meletakkan harapan tinggi agar Thailand dapat menganjurkan Kejohanan Futsal Piala AFF pada Januari tahun depan.

Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada November ini, dibatalkan selepas Thailand dan Indonesia menarik diri daripada menjadi tuan rumah.

Namun, Chun Yong mengesahkan Thailand kini telah merangka kembali perancangan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada Januari 2017.

Meskipun masih belum ada kata putus, jurulatih itu meletakkan harapan tinggi supaya ia terlaksana kerana persediaan rapi sudah dibuat pasukan yang bakal bertanding.

"Tiada apa yang diputuskan dan kami tidak mahu membuat kesimpulan terlalu cepat," katanya. "Indonesia pun mahu mengambil alih penganjuran kejohanan ini tetapi disebabkan isu teknikal yang tidak dapat dielakkan, ia tidak jadi.

"Jadi, kami menunggu berita gembira kerana kami tidak sabar untuk menyertai kejohanan ini."

Memandangkan tiada kejohanan hingga hujung tahun ini, Chun Yong dalam perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama Indonesia dan Brunei pada Disember ini.

"Disember ini, kami ada buat kem selama 10 hari. Kami cuba buat tiga penjuru dan mungkin menjemput negara-negara jiran untuk mengambil bahagian di Malaysia. 

"Sekurang-kurangnya, kami ada perlawanan antarabangsa," tambahnya.

Thailand terpaksa menarik diri daripada menganjurkan Kejohanan Futsal Piala AFF sebagai tanda menghormati kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Tanggungjawab itu kemudiannya diberikan kepada Indonesia dan Singapura, sebelum kedua-dua negara tersebut menolak dengan alasan tersendiri.

Pada Jumaat lalu, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan kejohanan itu terpaksa dibatalkan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen