Skuad Sang Badak akhirnya melengkapkan kouta pemain import mereka bagi musim 2017 apabila mengikat bekas penyerang bawah 20 tahun Perancis, Sofiane Choubani, semalam.

Majlis menandatangani kontrak itu berlangsung di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Kota Kinabalu, dengan pemain berusia 26 tahun itu akan bersama pasukan berkenaan untuk tempoh setahun.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, serta pengarah sukan skuad Sabah, Adlane Messelem.

Choubani menjadi pemain keempat diikat Sabah, sekali gus melengkapkan kouta pemain import pasukan itu selepas tiga lagi pemain, iaitu pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, penyerang dari Perancis, Jonathan Behe, dan pemain tengah dari Jepun, Masaya Jitzono, mengesahkan menyarung jersi Sang Badak, musim depan.

Terdahulu, kehadiran Choubani dalam skuad Sabah menjadikan pasukan itu kini memiliki seramai 23 pemain untuk saingan Liga Malaysia 2017 dengan dua lagi slot dikatakan bakal diisi dalam tempoh terdekat ini.

Setakat ini, pemain yang telah mengikat kontrak bersama SAFA ialah empat pemain import berkenaan serta pemain tempatan, iaitu Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mohd Sakri, Alto Linus, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Mohd Azzizan Nordin, Jenius Karib, Leopold Alfonso Otong, Ummareng Bachok, Ricco Nigel Milus, Radzi Md Hussin, Maxsius Musa, Mohd Azwan Abd Fattah, Randy Baruh @ Samson, Rahman Shah Marajeh, Saliun Mastar, Sabri Sahar dan Sumardi Hajalan.