Presiden Fiorentina, Rocco Commisso, berkata, Federico Chiesa, boleh pergi meninggalkan kelab sekiranya kehendak kelab dipenuhi selepas dilaporkan beberapa kelab Serie A dan Liga Perdana Inggeris (EPL) mahu mendapatkan khidmatnya.

Chiesa merupakan pemain yang mendapat permintaan berikutan eksploitasi Fiorentina -- juara Itali , Juventus, Inter, Manchester United dan Chelsea antara pasukan yang dikaitkan dengan pemain tersebut.

Pemain antarabangsa Itali berusia 22 tahun, yang menyertai skuad utama menerusi akademi Fiorentina pada 2016, telah berjaya menjaringkan enam gol dan melakukan tiga bantuan jaringan dalam 23 penampilan Serie A sebelum wabak coronavirus menangguh saingan musim ini.

Pemilik Fiorentina, Commisso telah mengatakan bahawa beliau terbuka untuk menjual Chiesa jika penyerang itu ingin berkelana dan sekali lagi mengulangi pendiriannya semalam."Sekiranya Chiesa mahu keluar daripada kelab, maka dia boleh pergi, tetapi hanya untuk yuran perpindahan yang kami akan tentukan," kata Commisso.

"Perkara yang berbeza bagi Gaetano Castrovilli [pemain tengah Fiorentina juga telah menarik minat], kerana dia mengatakan kepada saya bahawa dia ingin kekal di Florence.

"Sekiranya Chiesa pergi, maka Castrovilli boleh menyarung jersi Nombor 10."

Fiorentina -- yang berada di kedudukan ke-13 ketika saingan ditangguh -- dijadualkan meneruskan musim 2019-20 dengan perlawanan di Brescia 22 Jun ini.