JUVENTUS 1 VALENCIA 0

Giorgio Chiellini menggesa Juventus untuk mengalihkan perhatian mereka kepada pemburuan gelaran Serie A selepas menempah kedudukan mereka dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Umpanan Cristiano Ronaldo kepada Mario Mandzukic memastikan kemenangan 1-0 mereka ke atas Valencia di Turin untuk Juve menamatkan Kumpulan H setidak-tidaknya di tangga kedua.

Dengan Juventus dijangka menjadi pencabar utama bagi setiap kejuaraan, Chiellini gembira melihat barisan kendalian Massimiliano Allegri tersebut mencapai objektif pertama mereka pada musim 2018-19.

"Matlamat pertama musim ini telah dicapai," katanya dalam petikan yang diterbitkan di laman sesawang Juventus.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan sukar kerana Valencia merupakan pasukan yang berbahaya jika diberi ruang.

"Dalam babak pertama, kami sepatutnya beraksi dengan lebih baik. Semangat kami berkobar-kobar, jadi kami melakukannya dengan lebih baik dalam separuh masa kedua -- kami sememangnya berhak meraih kemenangan ini."

Kemenangan dramatik Manchester United pada lewat perlawanan menyaksikan Juventus belum lagi dapat mengesahkan kedudukan teratas kumpulan, namun mereka mempunyai kelebihan dua mata menjelang kunjungan ke Switzerland untuk perlawanan terakhir kumpulan.

Sehubungan itu, Chiellini menuntut Bianconeri agar memberi tumpuan kepada saingan domestik, dengan juara menanti itu bakal dicabar Fiorentina, Inter, Torino, Roma, Atalanta dan Sampdoria sebelum tahun ini berakhir.

Ia merupakan laluan penuh ranjau buat anak buah Allegri meskipun memiliki kelebihan lapan mata di puncak selepas 13 perlawanan.

"Kini kami perlu mengalihkan perhatian dan hanya mula memikirkan soal UCL pada Februari nanti," tambah Chiellini.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada saingan domestik pula kerana kerana kami bakal mengharungi bulan yang baik."