Pengendali skuad bola sepak senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe, tidak mempunyai perancangan untuk memanggil pemain-pemain lain di sebalik beberapa kecederaan yang menimpa beberapa pemainnya menjelang aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan, malam esok.

Skuad negara, yang dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Suzuki AFF 2018 bulan depan, bertekad untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam siri aksi persahabatan.

Terdahulu, mereka mengatasi Kemboja dan yang terbaru menewaskan Sri Lanka di tempat lawan, Jumaat lalu.

Namun, Cheng Hoe perlu membuat sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pasukan, terutama melibatkan kecederaan yang dialami penyerang negara, Shahrel Fikri Md. Fauzi, ketika aksi menentang Sri Lanka.

Pemain pertahanan, Matthew Davies, mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan semalam manakala Akram Mahinan serta Azzizan Nordin masih belum cergas sepenuhnya.

"Barisan kejurulatihan tidak merancang untuk melakukan perubahan memandangkan hanya tinggal sehari sebelum hari perlawanan. Saya rasa pemain yang ada sudah cukup untuk kami menghadapi perlawanan itu.

"Kami belum tentukan barisan pemain yang akan diturunkan memandangkan kami masih ada masa untuk menilai pemain," kata Cheng Hoe.

Jurulatih Kyrgyzstan, Aleksandr Krestinin, berpandangan Malaysia mempunyai kualiti yang cukup baik di bahagian serangan.

Jika kedudukan ranking dijadikan perbandingan, Kyrgyzstan jauh lebih selesa di tangga ke-91 berbanding Malaysia yang berada di tempat ke-175.

Namun, Krestinin percaya ia bukan gambaran sebenar mengenai kemampuan Malaysia.

"Kami melakukan analisis terhadap pasukan Malaysia dan banyak maklumat yang kami peroleh.

"Semua pemain mempunyai kualiti tersendiri, khususnya di bahagian serangan. Mereka sungguh pantas dan kami perlu berwaspada," katanya.

Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan Kyrgyzstan untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun depan.