Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, tetap dengan perancangan mahu mengumpulkan pemainnya pada November depan biarpun tahun 2020 akan ditutup secara hambar tanpa sebarang saingan.

Jelasnya, perancangan itu masih dalam perbincangan termasuk satu aksi persahabatan biarpun perlawanan dengan Kuwait dan Bahrain terpaksa ditunda ke satu tarikh yang belum dimuktamadkan.

"Kami mahu mengumpulkan pemain utnuk memulakan kem latihan dan kalau boleh, kami mahu menganjurkan satu perlawanan persahabatan tetapi ia perlu mendapat lampu hijau daipada kerajaan.

"Kerana sebarang perlawanan persahabatan melibatkan negara lain perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan untuk membenarkan pasukan tersebut datang ke Malaysia," katanya.

Berdasarkan penelitian Cheng Hoe, perancangan itu tidak mengganggu perjalanan Liga Malaysia tetapi berisiko kehilangan kecederaan pemain selepas melewati jadual padat berkenaan.

"Kami memang tidak mahu mengganggu kelancaran perlawanan (Liga Malaysia) kerana kami tidak mempunyai perlawanan kompetitif pada Oktober depan.

"Kami harap liga dapat berjalan dengan lancar dan pemain juga ada masa rehat.

"Jadi, kami merancang untuk mengadakannya selepas habis saingan Liga Malaysia," tambahnya.