Cheng Hoe terap bola sepak moden dalam Harimau Malaya

Oleh Penulis Jemputan 16 Disember 2018 2574
Cheng Hoe terap bola sepak moden dalam Harimau Malaya
Di sebalik kegagalan skuad negara menamatkan penantian lapan tahun untuk muncul juara Piala AFF, falsafah permainan bola sepak moden daripada pengendali negara, Tan Cheng Hoe, merupakan aspek positif yang dapat dilihat daripada persembahan keseluruhan Harimau Malaya dalam kempen kali ini.

Skuad negara tampil lebih mantap untuk kejohanan edisi 2018 berbanding edisi lalu yang menyaksikan Malaysia tersingkir dalam peringkat kumpulan di Yangon, Myanmar.

Di bawah bimbingan Cheng Hoe yang dapat menghimpunkan barisan pemain terbaik, Harimau Malaya mempamerkan aksi memuaskan dalam saingan kumpulan menerusi tiga kemenangan daripada empat perlawanan.

Skuad negara yang kali terakhir merangkul kejuaraan pada 2010 berjaya meneruskan momentum apabila menyingkirkan juara bertahan, Thailand, untuk mara ke pentas akhir menerusi peraturan gol tempat lawan.

Namun, impian untuk meraih gelaran kedua kejohanan berkubur susulan tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi final kedua di Hanoi, sekali gus tumpas dengan agregat 3-2.

Walaupun gagal bergelar juara, falsafah bola sepak moden yang diterapkan Cheng Hoe tampak memberikan petanda positif terhadap kemampuan Malaysia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi kelak.

"Sebelum ini, Malaysia lebih mengutamakan permainan bertahan apabila berdepan pasukan yang lebih baik. Tetapi kali ini, kami telah mengubah prinsip itu ketika bertemu Thailand dan Vietnam," kata Cheng Hoe.

Jurulatih itu menerapkan falsafah bola sepak moden dalam permainan skuad negara menerusi hantaran pendek dan pergerakan yang tersusun bermula dari bawah.

Ia merupakan satu peralihan gaya permainan bola sepak negara berbanding sebelum ini selepas beliau mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih negara sejak Disember tahun lalu.

"Pemain perlu terus percaya dengan corak permainan positif. Saya pasti pada masa akan datang kami mampu meraih kemenangan dan pemain-pemain juga perlu lebih konsisten mempamerkan kualiti dalam saingan liga tempatan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen