Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe 'tidak senang duduk' dengan perkembangan pasukan lawan untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 -- mengakui berdepan situasi sukar, dia memutuskan untuk mengadakan kem latihan pusat selepas tamat saingan Piala Malaysia.

Ranjau menanti Harimau Malaya untuk melunaskan misi layak ke Piala Asia 2023 -- ini berdasarkan situasi pihak lawan yang sudah melakukan persiapan awal bagi mengharungi baki saingan kelayakan Kumpulan G.

Semalam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berentap dengan Uzbekistan untuk aksi persahabatan antarabangsa dengan perlawanan itu berkesudahan UAE tewas 1-2.

Manakala, Thailand dan Vietnam difahamkan mengadakan perlawanan ujian dengan beberapa kelab di negara masing-masing.

Situasi itu jelas menimbulkan kerisauan kepada Cheng Hoe yang ketika ini belum dapat mengumpulkan barisan pemainnya untuk sesi latihan.

"Mana-mana jurulatih akan risau dengan keadaan semasa selepas hampir setahun pasukan tidak menjalani sebarang perlawanan antarabangsa. Jika Covid-19 dapat dikawal kami memiliki perancangan untuk membuat persiapan selepas tamat saingan Piala Malaysia," kata Cheng Hoe.

"Walaupun keadaan Covid-19 di negara lain masih lagi dalam keadaan yang sama, mereka masih lagi mampu membuat persiapan untuk menghadapi saingan akan datang."