Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menyahut cabaran Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, untuk realisasikan sasaran menjuarai Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Bagi menepati pelan strategik F:30 FAM, jurulatih itu menyambut tanggungjawab berkenaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pasukan terbaik di peringkat Asia Tenggara.

Keyakinannya itu turut diperkuatkan dengan kemampuan pemain sedia ada yang telah membuktikan prestasi terbaik dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sepanjang tahun lalu.

"Setiap jurulatih mempunyai sasaran tersendiri dan mahukan kejayaan dalam kariernya.

"Jadi, saya akan mengambilnya sebagai satu cabaran," katanya.

Tegasnya lagi, kehampaan dalam dua edisi terdahulu perlu dilunaskan dengan kejuaraan dan tidak mahu memandang Thailand dan Vietnam sebagai penghalang untuk mengulangi pencapaian yang diraih pada 2010 itu.

"Mereka (pemain) sudah melalui tahun terbaik tetapi kami perlu mencabar diri.

"Dalam bola sepak, jika kita yakin, bekerja keras dan berusaha, ia tidak mustahil.

"Jadi, ia terpulang kepada pemain," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa