Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menganggap Bahrain sebagai lawan yang mampu meletakkan pasukannya di tahap terbaik sebelum berdepan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Mac depan.

Jurulatih itu mempunyai dua pilihan sebelum bertemu UAE dan Vietnam dalam kempen kelayakan berkenaan.

Bahrain menyatakan persetujuan mereka untuk beraksi dengan Harimau Malaya dalam satu perlawanan persahabatan selepas Palestin turut mengemukakan tawaran sama kepada skuad negara.

Tanpa berfikir panjang, Cheng Hoe memilih Bahrain berdasarkan kedudukan pasukan itu yang berada di ranking ke-99 dunia.

"Baru-baru ini, Bahrain merupakan juara Piala Asia Barat dan jurang mereka tidak jauh dengan UAE.

"Jadi, ia satu pilihan yang terbaik dan sudah pasti kami memerlukan satu perlawanan persahabatan," katanya.

Pendekatan Cheng Hoe memilih lawan yang lebih kuat sebelum ini berhasil apabila skuad negara menumpaskan Thailand dan Indonesia.

Begitupun, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menjangkakan cabaran berbeza disebabkan faktor liga yang baru bermula.

"Ketika menentang Bahrain nanti, saingan liga mungkin baru melepasi enam atau tujuh perlawanan.

"Jadi, pemain yang dipilih perlu bersedia untuk berdepan UAE.

"Tetapi melalui proses perlawanan persahabatan dengan Bahrain itu sesuatu yang cukup baik," katanya.


Editor: Muzaffar Musa