Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, meminta penyokong bola sepak negara supaya bersikap profesional dan tidak sesekali melemparkan kritikan yang tidak sepatutnya, terutama kepada keluarga pemain.

Ini kerana keluarga pemain tiada kena-mengena dengan aksi dipamerkan pasukan negara selain sikap berkenaan hanya mengundang kepada perbalahan yang lebih besar.

"Saya harap penyokong tengok daripada segi yang positif daripada negatif dan bagi saya sendiri, tak perlulah sampai nak menyerang pihak yang tiada kena-mengena.

"Saya akui sokongan peminat itu penting, cuma jangan sampai kita hilang pertimbangan," katanya ketika ditemui dalam perlawanan persahabatan di antara Malaysian Chinese Legend dan Perak Chinese All Star di Padang Kelab Rekreasi Cina Perak (PCRC), semalam.

Kelmarin, Syuhadaa Adilla, iaitu isteri kepada pemain pertahanan negara, Shahrul Saad, nyata terkilan dengan sikap beberapa penyokong yang melemparkan kritikan menghina keluarga suaminya di media sosial (Instagram) susulan kekalahan 0-1 Malaysia di tangan Vietnam dalam aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 di Hanoi, Khamis lalu.

Syuhadaa turut menjelaskan pada awalnya dia tidak mengendahkan mesej-mesej berkenaan, namun apabila melampaui batas, dirinya turut memuat naik status ditujukan kepada mereka yang meninggalkan komen negatif itu.

Menurutnya, kekalahan Malaysia itu juga berpunca daripada aksi keseluruhan pasukan dan bukannya terletak di bahu Shahrul semata-mata.

"Bola sepak bukan permainan individu tetapi ia permainan satu pasukan dan ia (perlawanan) bukannya kesalahan Shahrul yang mengakibatkan kita dibolosi gol. Saya rasa keseluruhan pemain buat silap," katanya.

Cheng Hoe berharap penyokong akan terus meniupkan semangat kepada pemain negara kerana skuad Harimau Malaya masih berpeluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia jika memenangi semua baki perlawanan selepas ini.