Cheng Hoe miliki bayangan kesebelasan utama

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 1968
Cheng Hoe miliki bayangan kesebelasan utama
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mungkin sudah memiliki bayangan kesebelasan utama bagi kempen Piala Suzuki AFF 2018 tetapi akan memberi peluang buat setiap pemain menampilkan persembahan terbaik dalam aksi persahabatan menentang Maldives, 3 November depan.

Pertemuan dengan Maldives merupakan aksi terakhir buat Cheng Hoe sebelum dia memutuskan senarai 23 pemain untuk ke Piala AFF.

Selain itu, kekecewaan tewas di tangan Kyrgyzstan di Melaka sebelum ini juga mahu dilupakan dengan ketumpulan penyudah menjadi kerisauan.

justeru, Cheng Hoe mahu pemain yang disenaraikan kali ini mengambil berpeluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Memang barisan jurulatih memiliki bayangan 11 pemain tetapi kami perlu lihat lagi dalam sesi latihan selama 10 hari," kata Cheng Hoe.

Seramai 20 pemain termasuk tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) melaporkan diri di hari pertama kem latihan pusat.

Dalam masa sama, lima pemain Perak diberi pelepasan sehingga berakhir tugasan mereka menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Terengganu, Sabtu ini manakala Akhyar Rashid ketika ini bersama skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak dalam Kejohanan AFC di Indonesia.

Namun, peluang pemain Pahang, Matthew Davies, untuk tersenarai tipis selepas Cheng Hoe akui dia memerlukan tempoh yang lebih lama untuk pulih daripada kecederaan lutut kanan.

"Selepas imbasan, kami dapati Davies memerlukan masa yang lama untuk pulih daripada kecederaan lutut, jadi kami terpaksa lupakan khidmatnya," tambah Cheng Hoe.

"Prestasi pemain menunjukkan peningkatan dan saya rasa tidak banyak perubahan daripada corak permainan. Apa yang penting, pemain kena bersedia untuk perlawanan akan datang."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen