Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, masih belum puas bersama skuad Harimau Malaya, sekali gus memberikan isyarat jelas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk khidmatnya dikekalkan hasil pencapaian naib juara Piala AFF 2018.

Masa depan Cheng Hoe selaku pengendali negara menjadi tanda tanya sejurus berakhir kempen Piala AFF 2018.

Ini susulan kontraknya bersama badan induk itu berakhir hujung bulan ini selepas beliau menggantikan Nelo Vingada kira-kira setahun yang lalu.

Khidmat Cheng Hoe, bagaimanapun, wajar dikekalkan kerana beliau berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) menerusi kemaraan skuad negara ke perlawanan akhir.

"Sebagai jurulatih, kami berpuas hati dengan pencapaian tetapi tidak boleh berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain. Kami perlu meningkatkan lagi mutu permainan dengan keutamaan kepada saingan kelayakan Piala Asia selepas ini," kata Cheng Hoe.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Vietnam dalam aksi final kedua semalam, Cheng Hoe mengakui gol awal tuan rumah menjadi titik tolak kekalahan 0-1 pasukannya itu.

Ia sekali gus menyaksikan impian Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua sejak 2010 berkubur dengan agregat 3-2 memihak lawan.

"Jika kami meraih gol penyamaan, ia akan mengubah rentak perlawanan. Tetapi secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan pasukan sepanjang kempen kali ini."

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tetap berpuas hati dengan persembahan Malaysia dan berharap peningkatan dapat dipamerkan pada masa akan datang.

"Saya sangat gembira dan berbangga dengan Harimau Malaya. Kita kurang bernasib baik dan saya percaya mereka akan bangkit dalam kejohanan seterusnya. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir ke Hanoi memberikan sokongan kepada pemain-pemain," kata Syed Saddiq.