Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, lega Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangka pelan B untuk persediaan skuad kebangsaan ke pentas antarabangsa jika permohonan kali kedua aksi liga tempatan menemui jalan hampa.

Sekurng-kurangnya terdapat rencana kedua daripada FAM dan itu sudah cukup untuk memberi rasa lega buat Cheng Hoe memandangkan keadaan semasa sukar untuk menyebelahi dirinya ketika ini.

"Saya rasa setiap kali pemain melaporkan diri ke kem latihan, mereka berikan komitmen 100 peratus tetapi kali ini melibatkan suasana berlainan. Saya harap setiap pemain boleh berikan tumpuan 100 peratus," katanya.

Jika diberi pilihan, pengendali itu memilih saingan liga mendapat pelepasan pihak kerajaan pusat kerana keutamaan adalah aksi kompetetif jika dibandingkan dengan latihan yang masih terhad menerusi garis panduan prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat kelulusan untuk menyambung aksi liga, keutamaan adalah kepada pasukan kerana saya rasa pemain teruja untuk kembali beraksi. Jadi, saya rasa lebih baik bermain dalam aksi kompetitif berbanding mengharapkan latihan."